Selangor kekalkan program air percuma

Sebelum ini Air Selangor mengambil alih SPLASH. (Gambar Fail)

SHAH ALAM: Selangor akan mengekalkan program air percuma yang diberikan kepada rakyat di negeri itu.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata tiada sebarang kenaikan tarif air kepada rakyat negeri itu bagi memastikan kejayaan dan kesejahteraan mereka dapat dijaga dan dipelihara.

“Pihak kerajaan negeri mengekalkan prinsip sebarang tindakan dan keputusan berkenaan tarif air akan melihat kepada kemampuan rakyat supaya tidak membebankan rakyat di masa depan,” katanya di DUN Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan daripada Adun Banting Lau Weng San dan Adun Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi masing-masing dari Pakatan Harapan dan PAS berhubung pengambilalihan Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) akan memberi kesan kepada tarif dan pemberian air percuma di negeri itu.

Sebelum ini, Proses pengambilalihan SPLASH yang sudah lama tertangguh akhirnya selesai apabila syarikat konsesi itu secara prinsipal bersetuju menerima nilai tawaran pengambilalihan syarikat itu oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berjumlah RM2.55 bilion.

Amirudin bagaimanapun berkata kerajaan negeri juga menganggap apabila tiba masa yang sesuai mereka harus menilai semula pemberian air percuma dan tarif air berkenaan.

“Supaya ia tidak membebankan kerajaan negeri,” katanya.