Soalan di DUN kurang: Calon MCA Balakong tak matang, kata Adun PH

Ean Yong Hian Wah berkata, Adun biasanya akan menyelesaikan aduan penduduk setempat di pusat khidmat mereka terlebih dahulu. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah menyifatkan calon MCA bagi pilihan raya kecil Balakong, Tan Chee Teong tidak matang dan tidak membuat penyelidikan sebelum mendakwa wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) tidak menjalankan tugas kerana jumlah soalan dibangkitkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) semakin kurang.

Pengarah PH bagi pilihan raya kecil Balakong itu berkata, dakwaan Tan itu menunjukkan beliau tidak memahami tugas seorang wakil rakyat.

“Setiap Adun akan mengemukakan jumlah soalan yang perlu ditanya kepada pihak kerajaan negeri. Kalau masalah banyak, soalan banyak. Kalau masalah dalam kawasan Adun itu kurang, soalan akan kurang,” katanya di luar DUN Selangor hari ini.

Tan sebelum ini mendakwa jumlah soalan dikemukakan dalam sidang DUN Selangor berkurangan daripada lebih 700 kepada hanya 420 soalan, berdasarkan laporan akhbar berbahasa Cina baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ean Yong yang juga bekas exco Selangor berkata, keadaan itu perkara biasa kerana Adun biasanya akan menyelesaikan aduan penduduk setempat di pusat khidmat mereka.

“Saya rasa dia tidak faham apa yang sedang berlaku dalam sidang DUN. Adun juga boleh mengambil bahagian dalam sesi perbahasan untuk bangkitkan isu tentang kawasan mereka.

“Ini adalah satu arena untuk Adun bangkitkan isu dalam kawasan dia dan Adun boleh ambil bahagian dalam jawatankuasa dewan yang berlainan atau mereka boleh mainkan peranan dalam pusat khidmat mereka apabila pengundi datang membuat aduan.”