Taufan Jebi terkuat dalam 25 tahun badai Jepun

Taufan Jebi berkelajuan sehingga 216 km sejam. (Gambar Reuters)

TOKYO: Taufan Jebi, taufan paling kuat membadai barat Jepun pada petang Selasa, dalam tempoh 25 tahun, menyebabkan perkhidmatan pengangkutan, penerbangan dan kereta api serta beberapa operasi di pusat komersial dibatalkan, lapor Xinhua.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) berkata, taufan yang melanda pada pukul 11.00 pagi waktu tempatan itu mempunyai kelajuan angin sehingga 216 km sejam.

Amaran hujan lebat dan ribut kuat juga dikeluarkan di kawasan timur dan barat Jepun, orang ramai dinasihatkan berwaspada, kerana risiko berlaku banjir dan tanah runtuh.

Pada taklimat media pada Isnin, seorang pegawai JMA mengkategorikan taufan itu “sangat kuat”, berdasarkan kekuatan angin sejak 1993.

Lebih 600 penerbangan tempatan dan antarabangsa dibatalkan.

Perkhidmatan kereta api laju, Tokaido Shinkansen dan Sanyo Shinkansen turut digantung selain penutupan beberapa bahagian lebuh raya utama, kata kementerian pengangkutan.

Operasi taman tema Universal Studio di Osaka turut ditutup.