Thailand musnah produk tiruan bernilai RM175 juta

Barangan tiruan berjenama itu seperti jam tangan, tali pinggang, pakaian, beg, kosmetik, kasut dan telefon bimbit. (Gambar Facebook)

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand sedang memperhebatkan tindakan terhadap pengeluaran dan penjualan produk tiruan dalam usaha memulihkan imej negara itu yang dikenali sebagai syurga untuk barangan tiruan berjenama terkenal.

Dalam majlis yang disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Jeneral Prawit Wongsuwan, pihak berkuasa negara itu melupuskan lebih 2 juta barangan tiruan bernilai 1.4 bilion Baht (RM175 juta) semalam.

“Kami akan meneruskan usaha ini dan tidak akan menghentikan tindakan terhadap barangan palsu. Kerajaan berharap rakyat akan berganding bahu untuk melupuskan sebarang bentuk produk palsu dalam negara,” katanya kepada media selepas majlis itu.

Produk tiruan yang dimusnahkan tersebut itu adalah hasil rampasan daripada pelbagai operasi yang dijalankan oleh pihak Polis Diraja Thailand, Jabatan Kastam dan Jabatan Siasatan Khas.

Barangan tiruan yang dimusnahkan itu adalah berjenama pereka terkenal antara lain, jam tangan, tali pinggang, pakaian, beg, kosmetik, kasut dan telefon bimbit.

Prawit, yang juga menteri pertahanan, berkata jumlah besar pelupusan barangan tiruan dalam majlis seperti itu semalam dan tahun lepas membantu Thailand keluar daripada indeks utama Senarai Pemantauan Utama Pejabat Perwakilan Perdagangan Amerika Syarikat (USTR).

Bagaimanapun, Thailand kekal dalam senarai USTR.

Timbalan perdana menteri itu menegaskan kerajaan negara itu meletakkan keutamaan tinggi terhadap hak milik harta intelek.