Umno kutuk pembebasan Guan Eng

Annuar Musa, Khairy Jamaluudin dan Azalina Othman mengutuk keputusan Mahkamah Tinggi.

PETALING JAYA: Umno mengutuk keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Menteri Kewangan Lim Guan Eng daripada rasuah, semalam.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa, mengutuk Pakatan Harapan (PH) yang berulang kali mengatakan ia menghormati dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

“Selamat tinggal kedaulatan undang-undang,” katanya. “Di Malaysia, anda tidak bersalah apabila anda berkuasa. Mahkamah hanya untuk pembangkang.”

Beliau mendedahkan ramai pemberita memintanya memberi komen berhubung keputusan Peguam Negara menarik balik pertuduhan terhadap Lim dan keputusan mahkamah menggugurkan kes itu.

“Komen saya adalah: biarlah rakyat menilainya,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi menggugurkan pertuduhan rasuah terhadap Lim dan ahli perniagaan Phang Li Koon berhubung pembelian sebuah banglo dikatakan di bawah harga pasaran selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk menggugurkan pertuduhan.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail bersetuju dengan pendapat peguam tertuduh dengan berkata mahkamah mendengar keterangan 25 saksi dan tidak bersedia untuk mendengar lebih banyak keterangan daripada saksi.

Pada 30 Jun 2016, Lim didakwa menggunakan jawatan awam atau kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk mendapatkan suapan kepada diri dan isterinya, Betty Chew, dengan meluluskan pemohonan daripada Magnificent Emblem Sdn Bhd menukar status tanah pertanian kepada tanah perumahan dalam mesyuarat Exco pada 18 Julai 2014.

Lim juga didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Kesiksaan kerana menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dengan membeli sebuah banglo berharga RM2.8 juta daripada Phang di bawah harga pasaran hartanah RM4.7 juta pada masa itu.

Phang didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Kesiksaan kerana bersubahat dengan Lim.

Sementara, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, mengkritik Pejabat Peguam Negara, apa yang beliau gelarkan sebagai “pendakwaan terpilih”.

“Jabatan Peguam Negara memalukan,” katanya. “Keputusan ini sangat tidak patut dan menjejaskan komitmen mahkamah terhadap kedaulatan undang-undang.”

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, yang mengetuai unit perundangan Umno pula menuduh Tommy Thomas memberi keutamaan kepada pemimpin PH.

“Keputusan membebaskan Guan Eng merendahkan kredibiliti Pejabat Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan.

“Peguam Negara mesti menjelaskan perkara ini dengan jelas kerana ini boleh menimbulkan persepsi negatif yang boleh menjadi ancaman kepada doktrin pemisahan kuasa di negara ini dan mengakibatkan rakyat kehilangan kepercayaan dalam sistem pentadbiran negara.”

Beliau memetik kenyataan terbuka Timbalan Pendakwa Raya Abdul Rashid Daud pada permulaan prosiding rasuah itu, berkata pihak pendakwaan akan membuktikan Lim membeli sebuah rumah daripada Phang pada harga yang diketahui di bawah paras pasaran dan dia ada pada masa pembelian dibuat, membenarkan permohonan syarikat Phang menukar status tanah pertanian kepada perumahan.

“Jadi ini menimbulkan persoalan bagaimana Pejabat Peguam Negara boleh mengatakan tidak ada kes terhadap kedua-dua mereka dan menarik balik pertuduhan. Ini tidak masuk akal sama sekali.

“Ia menunjukkan Peguam Negara yang dilantik kerajaan PH mula menyalahgunakan kuasa budi bicara yang diberikan di bawah undang-undang dan memberikan keutamaan dan pilih kasih terhadap pemimpin PH.”

Beliau juga menggesa Majlis Peguam Malaysia mengadakan mesyuarat tergempar dan menyatakan pendiriannya mengenai perkara itu.