Warga emas dipenjara 12 tahun dera bayi 11 bulan secara seksual

Hashim Karim menutup mukanya ketika berdepan jurugambar di luar mahkamah hari ini. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan disebat 2 kali oleh Mahkamah Jenayah Seksual terhadap Kanak-kanak kerana melakukan hubungan seksual dengan memasukkan jarinya ke dalam kemaluan seorang bayi perempuan berumur 11 bulan.

Hakim, Mohamad Kamil Nizam memerintahkan Hashim Karim menjalani hukuman penjara sejak tarikh dia ditahan pada 22 Ogos lalu, selepas bekas pemandu lori berusia 68 tahun itu mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Shah Alam pada 4 petang 20 Ogos lalu.

Dalam rayuannya, Hashim memohon hukuman diringankan atas alasan dia perlu menjaga anak masih bersekolah.

Timbalan Pendakwa Raya, Aimi Syazwani Sarmin meminta mahkamah menjatuhi hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana kesalahan itu melibatkan seorang bayi.

Beliau berkata, mangsa bagaikan seorang cucu kepada tertuduh dan dia seharusnya menjaga bayi itu dengan baik, bukannya mendatangkan kecederaan kepadanya.

Aimi berkata, sungguhpun Hashim berumur 68 tahun, beliau memohon mahkamah menjatuhi hukuman sebat terhadapnya kerana hukuman itu dibenarkan di bawah undang-undang bagi pesalah seksual.

Beliau turut memohon mahkamah menghalang media menyiarkan identiti serta maklumat berkaitan mangsa mengikut Seksyen 14 Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007 dan hakim membenarkan permohonan itu.

Menurut fakta kes yang dibacakan kepada Hashim di mahkamah, ibu bapa bayi itu menghantar anak mereka kepada pengasuh pada hari berkenaan.

Kira-kira 4 petang, pengasuh itu meminta Hashim, yang juga bapa mentuanya menjaga bayi itu kerana mahu menyelesaikan urusan insurans dan cukai jalan keretanya.

Sekembalinya ke rumah, pengasuh itu mendapati bayi berkenaan menangis di dalam buaian dan ternampak darah pada seluar bayi itu. Dia kemudian memandikan bayi itu dan mendapati ada kesan darah.

Ibu bapa bayi itu kemudiannya membawa anak mereka ke hospital selepas ternampak darah pada lampin bayi dan darah yang keluar dari kemaluannya.

Seorang pakar perbidanan dan sakit puan yang memeriksa bayi itu berkata, kecederaan bayi berkenaan mungkin disebabkan objek tumpul besar yang dimasukkan secara paksa ke dalam kemaluannya.

Siasatan polis mendapati tertuduh memberitahu anak lelakinya dia memasukkan jarinya ke dalam kemaluan bayi berkenaan dan perbualan itu didengari orang ke-3.