Adakah Singapura juga rasuah golongan miskin, Najib soal Azmin

Najib membidas kenyataan Azmin mengenai skim pemberian wang tunai kepada golongan B40.

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak mempertikaikan kefahaman Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai pemberian wang tunai kepada golongan B40, selepas menteri hal ehwal ekonomi itu berkata ia mempunyai unsur rasuah.

Bekas perdana menteri itu mengingatkan Azmin bahawa Singapura dan banyak negara lain turut mempunyai skim serupa BR1M, untuk mengagihkan semula pendapatan daripada golongan terkaya kepada kumpulan isi rumah berpendapatan terendah (B40).

“Saya percaya menteri hal ehwal ekonomi ini keliru dengan kefahaman konsep ekonomi dan matematik beliau.

“Saya hendak tanya Azmin: Adakah kerajaan Singapura telah gagal ataupun mereka membeli atau memanjakan rakyat mereka juga kerana mereka ada skim seperti BR1M?” katanya di Facebook.

Semalam, Azmin semasa membahaskan titah ucapan Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor berkata Pakatan Harapan menentang pemberian BR1M kerana prinsip skim itu “sebenarnya untuk memberi kepada orang Umno bagi tujuan mendapat undi”.

Menteri itu juga mendakwa pemberian BR1M bukti kegagalan kerajaan BN meningkatkan taraf ekonomi B40.

Najib bagaimanapun berkata Azmin mengeluarkan kenyataan yang pelik sebagai seorang menteri hal ehwal ekonomi kerana B40 bermakna kumpulan rakyat yang berpendapatan 40% paling rendah berbanding kumpulan berpendapatan sederhana dan tinggi.

“Pada setiap masa, golongan B40 memang akan wujud. Ini konsep matematik asas,” kata Najib, dan menambah pada setiap masa juga akan ada keluarga yang keluar atau masuk ke dalam kelas-kelas pendapatan itu.

“Mungkin menteri hal ehwal ekonomi kita kurang faham.”

Beliau berkata tujuan utama skim pemberian wang tunai bukan sekadar membasmi kemiskinan kerana ada banyak skim lain digerakkan bagi tujuan itu.

Najib menjelaskan kaedah itu bertujuan meningkatkan pendapatan B40 dan merancakkan ekonomi tempatan di luar-luar bandar dan bandar-bandar kecil.

“Itu tujuan sebenarnya dan penting dalam mengurangkan jurang pendapatan di Malaysia antara yang kaya dengan miskin dan bandar dengan luar bandar.”