Arab Saudi kenakan penjara 5 tahun jika mengejek di media sosial

Arab Saudi pernah mengeluarkan gesaan umum kepada rakyat supaya melaporkan aktiviti media sosial rakan-rakan mereka.

RIYADH: Arab Saudi akan mengenakan hukuman penjara sehingga 5 tahun terhadap individu yang membuat sindiran dalam talian yang dikatakan “mengganggu ketenteraman awam”, kata pendakwa raya pada Selasa.

“Mengeluar dan mengedarkan kandungan mengejek, mempersenda, provokasi dan mengganggu ketenteraman awam, nilai agama dan moral melalui media sosial … akan dianggap sebagai jenayah siber yang boleh dihukum maksimum 5 tahun penjara dan denda 3 juta riyal (RM1.2 juta),” tulis pendakwaan awam di Twitter.

Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman mendapat kritikan keras dari kumpulan hak asasi berhubung tindakannya menyasarkan aktivis hak asasi manusia dan penentang politik sejak pelantikannya pada Jun 2017.

Undang-undang Arab Saudi mengenai jenayah siber mencetuskan kebimbangan dalam kalangan kumpulan hak asasi manusia antarabangsa pada masa lalu.

Puluhan rakyat Saudi disabitkan dengan dakwaan yang dikaitkan dengan penentangan di bawah undang-undang pencegahan sebelum ini, terutama berkaitan kiriman di Twitter.

Pada September 2017, pihak berkuasa mengeluarkan satu gesaan umum kepada rakyat supaya melaporkan aktiviti media sosial rakan-rakan mereka, di bawah definisi jenayah “pengganas”.