Ejen surat khabar rugi lebih RM70,000 ditipu abang pekerja

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun, sebatan dan denda.

KUANTAN: Seorang ejen surat khabar berbahasa Cina mengalami kerugian RM 72,205.65 apabila wang bayaran akhbar daripada pelanggannya dikutip oleh seorang lelaki yang menyamar ejen.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 38 tahun hanya menyedari perkara itu setelah dimaklumkan oleh pekerjanya yang juga adik lelaki suspek baru-baru ini.

“Suspek dikatakan menyamar sebagai ejen akhbar tersebut dan mengutip wang daripada pelanggan rumah serta gerai sejak awal tahun lepas lagi.

“Sebaik sahaja mengetahui hal tersebut, mangsa meminta suspek supaya membayar semula wang yang dikutip sebanyak RM 72,205.65 itu, namun tidak diendahkan sehinggalah laporan polis dibuat Balai Polis Mentakab semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan dengan sebatan, dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.