Exco: Selangor tak kawal ke mana caj beg plastik disalurkan

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor tidak mengawal ke mana para peniaga menyalurkan caj 20 sen yang dikenakan atas pengguna untuk beg plastik, kata Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam Hee Loy Sian.

Hee menjawab pertanyaan Mohd Sany Hamzan (Amanah-Taman Templer) yang ingin tahu ke manakah caj 20 sen itu disalurkan sejak dasar beg plastik diperkenalkan kerajaan negeri pada 1 Januari 2017.

Exco berkata kerajaan negeri bagaimanapun menggalakkan para peniaga mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kerana mengenakan caj inisiatif alam sekitar itu.

“Kita menggalakkan mereka membuat beg kitar semula dan bagi percuma kepada pengguna. Kita juga juga menggalakkan mereka membuat program tanah pokok di kawasan tertentu dan perkara ini mereka telah buat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan ucapan Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Hee berkata kerajaan negeri akan melaksanakan kajian keberkesanan kempen bebas plastik bagi memastikan dasar itu tidak membebankan sesetengah pihak.

Ini kerana pengharaman beg plastik secara keseluruhan bukan mudah untuk dilaksanakan kerana ia membabitkan banyak pihak termasuk pengilang, peniaga dan pengguna.