Khidmat prabayar kini bebas SST tetapi hanya untuk warganegara

Pengguna sebelum ini tidak berpuas hati dengan caj SST terhadap kad tambah nilai prabayar telefon bimbit mereka. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perkhidmatan telekomunikasi prabayar yang dibekalkan syarikat telekomunikasi dikecualikan daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tetapi terhad kepada warganegara sahaja, menurut Kementerian Kewangan.

Dalam satu kenyataan, kementerian berkata arahan itu bertujuan mengatasi masalah syarikat telekomunikasi yang menghadapi kesukaran untuk mengubah sistem mereka dengan segera.

“Pengecualian ini adalah berdasarkan kepada Seksyen 34(3)(a) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dan berkuatkuasa mulai 6 September 2018.

“Melalui pengecualian ini, pelanggan perkhidmatan telekomunikasi pra bayar akan mendapat nilai kredit sepenuhnya apabila membuat tambah nilai dan tidak lagi dikenakan cukai perkhidmatan.

“Semua syarikat telekomunikasi perlu mengambil tindakan yang sewajarnya dengan segera dalam mematuhi penetapan pengecualian cukai perkhidmatan ini,” katanya.

Ahad lalu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengambil maklum berhubung aduan pengguna berkaitan caj SST yang dikenakan terhadap kad tambah nilai prabayar telefon bimbit.

“Buat isu SST untuk ‘prepaid’ (prabayar), perkara ini dalam perhatian KKMM. Kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat berkenaannya,” kata Menterinya Gobind Singh Deo.

Pelaksanaan SST yang bermula 1 September lalu menyaksikan segelintir pengguna melahirkan rasa tidak puas hati apabila nilai akhir kad tambah prabayar telefon bimbit yang dibeli mereka dipotong dengan sejumlah amaun berikutan SST.