Lantik Maszlee tak salah tapi jadi tanda tanya, kata Rais Yatim

Tan Sri Rais Yatim. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Tan Sri Rais Yatim berkata pelantikan Menteri Pendidikan Maszlee Malik sebagai presiden baru Universiti Islam Antarabangsa (UIA) tidak mencanggahi undang-undang tetapi akan menjadi tanda tanya.

Beliau menjelaskan seorang presiden UIA diberi banyak kuasa termasuk kuasa pemutus, kuasa disiplin dan kuasa dasar, dan menjadi perantara antara universiti dengan kerajaan.

Rais juga mengingatkan seorang menteri pendidikan menaungi semua institusi pengajian tinggi termasuk 21 universiti awam di negara ini.

“Jadi kalau dia ambil satu universiti sebagai presiden, universiti lain macam mana?” katanya.

Bekas presiden UIA itu diminta memberi reaksi kepada pelantikan Maszlee yang dimaklumkan Twitter rasmi UIA semalam. Kerusi itu kosong sejak tempoh perkhidmatan 5 tahun Rais tamat Jun lalu.

Rais sebelum ini dilantik ke jawatan itu oleh ketua perlembagaan universiti, yang sekarang disandang Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

“Kalau beliau melantik dirinya sebagai presiden, jadi pelantikan itu boleh dipertikaikan. Siapa yang melantik dia?” katanya.

Beliau menambah pelantikan Maszlee tidak jadi pertikaian jika ia disyorkan oleh ketua perlembagaan atau perdana menteri.

Beliau bagaimanapun berkata masa pelantikan Maszlee ini menimbulkan persoalan tentang kesahan pelantikan rektor baru UIA, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Dzulkifli dilantik sebagai rektor UIA berkuatkuasa 1 Ogos lepas.

Rais menjelaskan seorang rektor tidak boleh dilantik oleh menteri tanpa nasihat presiden, “sedangkan presiden belum dilantik”.

“Situasi sekarang rektor sudah dilantik, jadi pelantikan itu tidak sah mengikut undang-undang universiti bawah perlembagaan UIA,” katanya.

FMT cuba menghubungi Dzulkifli untuk mendapatkan responsnya.

Dalam laman YouTube rasmi RTM 8 Ogos lepas, pelantikan rektor baharu UIA itu dipersetujui oleh Sultan Ahmad Shah.