MITI: Firma China berminat pindah ke Malaysia

Setakat ini, 70 syarikat multinasional membuka hab serantau di Malaysia dan menawarkan 6,000 pekerjaan berkemahiran tinggi. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Firma dari China menyatakan minat untuk berpindah ke Malaysia berikutan ketegangan perdagangan berterusan antara negara itu dengan Amerika Syarikat.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Isham Ishak berkata syarikat daripada industri keluli, solar dan pembuatan yang terjejas susulan pengenaan tambahan tarif disebabkan kemelut perdagangan itu, memaklumkan minat berbuat demikian.

“Ekosistem kita yang tersedia dan sesuai untuk syarikat mereka mendorong hasrat mereka untuk beroperasi di negara ini. Lawatan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) baru-baru ini juga berusaha untuk ini,” katanya kepada pemberita selepas majllis makan malam Merdeka 2018 oleh InvestKL, malam tadi.

Setakat hari ini, 70 syarikat multinasional membuka hab serantau mereka di Malaysia dan menawarkan 6,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.

Sementara itu, Isham berkata MITI akan melancarkan Rangka Kerja Dasar Industri 4.0 Nasional pada minggu ke-2 Oktober.

“Ia akan dilancarkan oleh perdana menteri dan kita berharap mengikut rangka kerja ini, syarikat akan lebih berkedudukan baik untuk mula melaksanakan Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Berdasarkan Rancangan Malaysia Kesebelas, MITI mendapat peruntukan RM750 juta bagi tempoh 5 tahun untuk automasi dan pemodenan, atau menerima peruntukan RM150 juta setiap tahun untuk menyokong usaha tersebut.

Peruntukan itu diuruskan oleh Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) untuk perusahaan kecil dan sederhana beralih kepada automasi.

“Setakat ini, maklum balas adalah baik. Aspek positif automasi adalah ia akan membantu mengurangkan pelbagai masalah termasuk pekerja asing, yang kita akan kurangkan pergantungan kepada mereka,” katanya.