MTEM: BR1M bukan rasuah jika diberikan kepada orang miskin

Kerajaan sebelum ini bercadang menghentikan bantuan BR1M.

PETALING JAYA: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM) berkata pemberian BR1M tidak boleh dianggap rasuah jika ia diberikan kepada golongan miskin.

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman berkata pemberian BR1M itu perlu diteruskan tetapi kerajaan perlu pastikan hanya pihak yang betul-betul layak menerima bantuan itu.

“Siapa yang dapat itu isunya. Saya fikir kerajaan melihat terlalu ramai yang tidak layak dapat BR1M.

“Sedangkan bantuan BRIM adalah penting khusus kepada golonga miskin. Kalau orang dapat gaji RM4,000, ada kaki, ada tangan, dapat (BR1M) boleh joli. Tak ada faedah diteruskan,” katanya ketika ditemui di Pejabat MTEM, Bukit Damansara.

26 Ogos lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa pemberian BR1M yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional perlu dihentikan kerana ia mempunyai unsur rasuah untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Azmin berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang merangka inisiatif baharu yang meletakkan fokus untuk mensejahterakan rakyat, bukan menyogok atau memperbodohkan rakyat.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pentadbirannya berhasrat mengurangkan BR1M secara berperingkat sebelum dihentikan sepenuhnya.