Pemilik tahfiz didakwa cabul, ugut potong kemaluan pelajar

Tertuduh dibenar ikat jamin masing-masing RM25,000 dan RM20,000 namun mereka tidak menjelaskan jaminan itu. (Gambar Bernama)

KUANTAN: Sepasang suami isteri pengusaha pusat tahfiz dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menganiaya 5 kanak-kanak di bawah jagaan mereka sejak tahun lalu.

Tertuduh, Uji Che Mat, 43, dan suaminya Mohd Zamzuri Abdul Manap, 42, masing-masing mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Uji didakwa menganiaya seorang kanak-kanak berusia 7 tahun dengan cara menyalakan pemetik api pada kemaluan mangsa dan mengacukan gunting pokok berulang kali sambil mengugut mahu memotong kemaluannya.

Tertuduh, yang juga ibu kepada 5 orang anak itu, didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 11.51 pagi, 18 Ogos lepas di Ribath Tahfiz Asy-Syirazi di Lorong Tok Sira, Jalan Tengku Muhammad.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Uji juga didakwa mencabul kehormatan mangsa yang sama dengan memegang dan menarik kemaluan mangsa, mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana 2 hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Uji dan Mohd Zamzuri juga didakwa bersama-sama atas 4 pertuduhan menganiaya 4 kanak-kanak berusia antara 7 hingga 12 tahun yang merupakan pelajar di situ dengan cara merotan berulang kali sehingga semua mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pusat tahfiz yang sama pada sekitar waktu tengah hari dan petang, antara 2 Jan dan 31 Jan 2017.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Seksyen itu memperuntukkan tambahan hukuman yang membolehkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama tempoh dan dengan syarat yang difikirkan perlu oleh mahkamah dan perlu melaksanakan khidmat masyarakat untuk tempoh tidak melebihi 240 jam.

Selain itu, Mohd Zamzuri juga menghadapi 1 lagi pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) akta yang sama kerana merotan seorang kanak-kanak berusia 7 tahun yang didakwa berlaku pada pukul 8.18 malam, 11 Ogos lepas di pusat tahfiz tersebut.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Farahah Mohd Nazari menawarkan jaminan sebanyak RM105,000 ke atas Uji dan RM75,000 kepada Mohd Zamzuri, masing-masing dengan seorang pejamin.

Uji bagaimanapun merayu supaya jumlah itu dikurangkan atas alasan tidak bekerja dan pendapatan keluarga adalah bergantung sepenuhnya kepada Mohd Zamzuri yang merupakan guru di pusat tahfiz itu.

“Tiga anak kami juga masih bersekolah. Saya mohon jaminan dikurangkan,” katanya.

Dazuki membenarkan jaminan sebanyak RM25,000 ke atas Uji dan RM20,000 kepada Mohd Zamzuri bagi semua pertuduhan masing-masing dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 4 Oktober depan.

Beliau juga menetapkan syarat tambahan kepada kedua-dua tertuduh yang beralamat di Kampung Selamat untuk tidak mengganggu mangsa atau keluarga mereka sepanjang prosiding berlangsung.

Kedua-dua tertuduh tidak menjelaskan jaminan itu.