Penyokong bimbang perpecahan dalam kem Azmin menjelang pemilihan PKR

PETALING JAYA: Ketika ramai tertumpu kepada pertarungan antara Datuk Seri Azmin Ali dan Rafizi Ramli dalam pemilihan PKR akan datang, perpecahan mula timbul dalam kem Azmin bagi jawatan ketua Pemuda parti itu.

Jawatan tertinggi dalam sayap itu menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara Akmal Nasir dari kem Rafizi, manakala 2 pencabarnya, Dr Afif Bahardin dan Najwan Halimi dari kem Azmin.

Akmal ialah ahli Parlimen Johor Bahru, sementara Afif ialah Exco Pulau Pinang dan Adun Seberang Jaya serta Najwan ialah bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Adun Kota Anggerik di Selangor.

Sumber berkata, perpecahan berlaku dalam kem Azmin kerana Najwan menolak tawaran Afif untuk jawatan naib ketua Pemuda.

“Najwan berhasrat bertanding sebagai timbalan ketua Pemuda PKR di bawah Afif.

“Afif enggan menerima hasrat Najwan, memandangkan sudah mempunyai calon lain untuk jawatan timbalan ketua Pemuda PKR, iaitu Adun Gombak Setia, Hilman Idham.

“Mereka berdua (Afif dan Hilman) sudah lama bergerak bersama di peringkat akar umbi,” katanya kepada FMT.

Hilman ialah setiausaha politik kepada Azmin yang merupakan menteri hal ehwal ekonomi.

Seorang Adun wanita PKR di Selangor yang enggan dinamakan mengkritik tindakan Najwan dan Afif yang akan menyebabkan perpecahan undi bagi kem Azmin.

“Ia akan memberi kelebihan kepada Akmal Nasir,” katanya.

Najwan dan Afif duduk bersebelahan ketika Azmin berucap dalam majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Perdana Selangor di Petaling Jaya, Ahad lalu.

Azmin dalam ucapannya secara tidak langsung mengingatkan Najwan dan Afif untuk menjaga adab, disiplin dan beretika ketika berkempen.

Walaupun memuji sikap 2 pemimpin Pemuda itu duduk bersebelahan dalam majlis itu, tetapi Azmin beberapa kali menyebut nama Najwan berbanding Afif yang hanya diperkenalkan pada awal ucapannya sebagai timbalan ketua Pemuda PKR.