Pilihan raya kerajaan tempatan: Selangor tunggu jawapan Putrajaya

Kerajaan PH dijangka melaksanakan PKT dalam tempoh 3 tahun akan datang.

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor hari ini menyokong penuh cadangan untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan (PKT).

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung, Baru Ng Sze Han bagaimanapun berkata Selangor masih menunggu keputusan Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri masih menunggu keputusan daripada Kerajaan Persekutuan. Bagi kerajaan negeri, kami menyokong penuh PKT,” katanya semasa persidangan DUN Selangor.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Adun Taman Templer, Mohd Sany Hamzan yang bertanya adakah kerajaan Selangor berhasrat mengadakan PKT.

Pada 26 Mei lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijangka melaksanakan PKT dalam tempoh 3 tahun akan datang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata banyak laporan dan isu perlu dikaji untuk mencari mekanisme terbaik bagi memastikan pilihan raya berkenaan dapat dijalankan.

Ng turut diminta mengulas soalan Adun Banting, Lau Weng San mengenai adakah kerajaan negeri akan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan untuk memansuhkan Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 agar PKT dapat dijalankan.

Beliau yang juga Adun Kinrara berkata pemansuhan Seksyen 15 adalah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Bagaimanapun satu sesi bengkel di peringkat Kerajaan Persekutuan bersama semua pihak berkuasa tempatan diadakan dan perbincangan juga dilaksanakan,” katanya.

PKT atau pilihan raya pihak berkuasa tempatan pernah diadakan di Malaysia bagi memilih ahli jawatankuasa peringkat daerah sekitar 1964.

Proses pilihan raya itu dilihat penting berikutan dapat mewujudkan persaingan sesama ahli majlis ke arah lebih baik, sekali gus meningkatkan prestasi kerja.