Polis tahan pentadbir laman web reka cerita pelancong Britain dirogol

Polis berkata kisah ‘rekaan’ seperti itu melanggar Akta Jenayah Komputer dan mencemarkan imej pelancongan Thailand.

BANGKOK: Waran tangkap dikeluarkan oleh mahkamah terhadap pentadbir sebuah laman sesawang dan berpuluh-puluh orang yang berkongsi satu kandungan “rekaan” berkaitan seorang gadis rakyat Britain yang didakwa dirogol di sebuah pulau pelancongan Thailand.

Polis di Pulau Koh Samui pada Isnin mendapatkan waran tangkap itu dari mahkamah wilayah Surat Thani, susulan dakwaan jenayah itu yang dilaporkan berlaku pada Jun di Pulau Koh Tao di wilayah selatan Thailand.

Waran tangkap itu adalah untuk pentadbir laman sesawang CSI LA iaitu Pramuk Anantasilp, serta berpuluh-puluh lagi yang berkongsi kandungan “rekaan” tersebut secara online, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan timbalan komander polis wilayah Surat Thani, Cherdphong Chewpreecha.

CSI LA menyiarkan kisah gadis berusia 19 tahun dari Britain itu, hanya dinamakan sebagai “Isabelle”, yang kemudian polis dapati sebagai “rekaan sama ada sepenuhnya atau sebahagian,” sekali gus mendorong mereka untuk menahan pentadbir laman sesawang tersebut serta individu yang berkongsi kandungan terbabit.

Menurut polis, kisah “rekaan” seperti itu melanggar Akta Jenayah Komputer, mencemarkan imej pelancongan Thailand serta menjejaskan keselamatan negara itu, keselamatan awam dan kestabilan ekonomi.

Minggu lepas, Timbalan Pesuruhjaya Polis Pelancong Thailand Mejar Jeneral Surachate Hakparn, yang menyiasat aduan rogol yang dibuat sendiri oleh mangsa selepas beliau pulang ke England, telah mendapati bahawa ia adalah “tidak berasas” tanpa bukti kukuh untuk menyokongnya.

Gadis itu mendakwa dirogol pada malam 25 Jun di pantai Sairee di Pulau Koh Tao namun Surachate telah melihat rakaman visual kamera litar tertutup di kejiranan itu dan mendapati paras air laut yang meningkat di sepanjang pantai tersebut tidak memungkinkan sesiapa bersiar-siar di kawasan pantai.

‘Isabelle’ membuat aduan kepada polis Koh Samui pada hari berikutnya bahawa barangan peribadi miliknya hilang, termasuk wang tunai sebanyak US$90, telefon bimbit dan kad kredit selepas beliau menghabiskan masa minum bersama beberapa rakan.

Bagaimanapun, beliau tidak menyebut telah dirogol oleh seorang individu tidak dikenali di pantai itu kepada polis tempatan.