IPTS langgar Akta 555, kementerian keluar 60 notis kompaun

Akta 555 memperuntukkan denda antara RM10,000 sehingga RM200,000 dan hukuman penjara bagi tempoh tertentu apabila disabitkan kesalahan bergantung pada kategori kesalahan. (Reuters pic)

PUTRAJAYA: Lebih 60 notis kompaun dengan nilai melebihi RM1 juta dikeluarkan kepada beberapa buah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) kerana pelbagai jenis kesalahan di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 [Akta 555] bagi tempoh 6 bulan pertama tahun ini.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan berkata notis kompaun yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) melalui Bahagian Penguatkuasaan dan Inspektorat (BPI) adalah bagi memastikan operasi IPTS selaras dengan dasar kementerian serta mematuhi segala peruntukan perundangan di dalam Akta 555.

Katanya Akta 555 diwujudkan untuk mengawal selia ehwal penubuhan, pendaftaran, pengurusan (penawaran kursus, tenaga pengajar dan sebagainya) dan penutupan IPTS.

Kementerian berkata BPI dipertanggungjawab bagi menjalankan penyiasatan dan pemeriksaan terhadap aduan dan laporan ketidakakuran IPTS dengan mengambil tindakan perundangan yang bersesuaian dengan peruntukan Akta 555 dan peraturan di bawahnya.

Akta 555 memperuntukkan denda antara RM10,000 sehingga RM200,000 dan hukuman penjara bagi tempoh tertentu apabila disabitkan kesalahan bergantung pada kategori kesalahan.

Menurut kementerian itu lagi, statistik sejak 2014 hingga Jun 2018 menunjukkan jumlah kes yang melibatkan pelanggaran Akta 555 oleh semua kategori IPTS meningkat dan membimbangkan.

“Kolej merupakan kategori IPTS terbesar dikenakan tindakan kompaun kerana pelbagai jenis kesalahan di bawah Akta 555 iaitu sebanyak 15 buah kolej (sehingga Jun 2018) berbanding 11 buah pada 2017.

Malahan tahun ini juga katanya pengeluaran notis kompaun ke atas kategori institusi lain turut menunjukkan peningkatan iaitu membabitkan universiti 3 buah (2017: 2 buah), dan kolej universiti 5 buah (2017: 2 buah).

Kementerian berkata sebagai langkah pencegahan, maklumat ketidakakuran IPTS perlu dimaklumkan kepada umum.

“Tindakan ini juga merupakan strategi bagi meningkatkan kepekaan IPTS terhadap peruntukan perundangan yang perlu dipatuhi serta keseriusan kerajaan dalam menangani isu kualiti perkhidmatan IPTS,” katanya.