KPKT wajibkan restoran pasang pengisar sinki kerana tikus

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mewajibkan restoran-restoran besar memasang pengisar sinki mulai tahun depan dalam usaha melawan haiwan perosak.

“Dengan ini kita akan kurangkan haiwan perosak seperti tikus, lipas dan lain-lain yang boleh membawa penyakit dan kekotoran,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan ke-72 di Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Zuraida menjelaskan sisa makanan yang dikisar itu akan masuk ke sistem kumbahan dan seterusnya ke loji-loji Indah Water Konsortium (IWK).

Kementerian juga mengarahkan hotel-hotel bertaraf 3 bintang menggunakan teknologi pencerna bio berkuatkuasa mulai tahun depan.

“Agar sisa pepejal makanan boleh dijadikan baja,” katanya.

Zuraida juga mengumumkan kementerian akan menyediakan satu garis panduan sampah kepada para peniaga pasar pagi, pasar malam dan pasar tani.

“Kalau mereka tak membersihkan, mengumpul dan meletakkan sampah di tempat yang telah disediakan, pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengambil tindakan dan menggantung lesen peniaga ini selama 1 bulan,” katanya.

Mengenai projek insinerator di Kepong yang mengundang kontroversi, Zuraida berkata projek berkenaan tidak semestinya dibina di kawasan terbabit.

“Kita akan melihat keseluruhan pungutan sampah di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Projek tersebut mengundang bantahan aktivis alam sekitar yang ia dihentikan demi keselamatan dan kesihatan penduduk.

Zuraida sebelum ini berkata pembinannya digantung sementara kerajaan sedang mencari alternatif mesra alam.