Mufti: Ugut potong kemaluan pelajar tahfiz tindakan tak berakhlak

Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata jika kes penganiayaan ini masih berlaku, ia bermakna masih ada kesilapan dalam proses mendidik. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Perbuatan menganiaya pelajar tahfiz dengan cara menyalakan pemetik api pada kemaluan mangsa dan mengacukan gunting pokok berulang kali sambil mengugut mahu memotong kemaluannya, disifatkan sebagai tindakan tidak berakhlak, kata mufti Wilayah Persekutuan.

Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata perbuatan itu mungkin mempunyai niat yang baik untuk mendidik tetapi kaedahnya melanggar sifat kemanusiaan, terutamanya kepada kanak-kanak.

“Ianya baik untuk mendidik anak-anak cara pengurusan diri mereka tetapi haruslah diiringi dengan kaedah dan pendekatan yang lebih baik daripada itu,” katanya ketika ditemui FMT.

Beliau berkata demikian mengulas laporan sepasang suami isteri pengusaha pusat tahfiz dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan menganiaya 5 kanak-kanak di bawah jagaan mereka sejak tahun lalu.

Tertuduh, Uji Che Mat, 43, dan suaminya Mohd Zamzuri Abdul Manap, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Hakim membenarkan jaminan sebanyak RM25,000 ke atas Uji dan RM20,000 kepada Mohd Zamzuri bagi semua pertuduhan masing-masing dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 4 Oktober depan.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, isu itu diharap dapat dihindari pada masa akan datang kerana terdapat lambakan cadangan mendidik kanak-kanak telah diberikan tokoh seluruh dunia.

“Saya kira, zaman ini sudah banyak diajarkan kaedah-kaedah didikan kepada anak-anak oleh tokoh dan golongan yang pakar.

“Sekiranya ia masih berlaku, itu bermakna masih ada kesilapan dalam proses didikan yang diberi,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin mengesahkan pusat tahfiz berkenaan beroperasi tanpa lesen.

Pusat tahfiz itu sekadar berdaftar dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

“Pusat itu berdaftar dengan MPK sebagai pusat asuhan dan beroperasi sejak 4 tahun lalu, diuruskan secara persendirian, termasuk dalam soal silibus pembelajaran serta tidak menerima bantuan kewangan daripada mana-mana pihak,” katanya.