Pelancong Turki didenda pakai burqa di Denmark

Wanita Turki itu bagaimanapun membayar denda tersebut. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Seorang pelancong Turki didenda peguatkuasa bandar Aarhus, barat Denmark selepas didapati memakai burqa di khalayak ramai, lapor portal AlBawaba.

Polis berkata, wanita berusia 48 tahun itu tidak mengetahui mengenai undang-undang terbaharu Denmark yang melarang pemakaian burqa di tempat umum.

Dia didenda sebanyak 1,000 kroner (RM635) ketika dia memasuki balai polis untuk memperbaharui visanya dengan memakai burqa.

Polis berkata wanita terbabit bagaimanapun membayar denda itu lalu membuka penutup mukanya sebelum meninggal balai polis tersebut.

Awal Ogos lalu, Denmark menguatkuasakan larangan memakai burqa dan niqab walaupun mendapat bantahan dari aktivis hak asasi manusia.

Larangan itu juga mencetuskan bantahan di Copenhagen dan Aarhus, dengan ratusan orang hadir, sebahagiannya memakai burqa.

Memakai burqa, yang menutup seluruh muka, atau niqab, yang cuma menunjukkan mata, di tempat umum boleh didenda sehingga RM635.

Kesalahan berulang boleh didenda sehingga RM6,365.