Pembebasan Guan Eng tidak memeranjatkan, kata Ahmad Maslan

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ahmad Maslan.

BANGI: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata keputusan mahkamah melepaskan dan membebaskan Menteri Kewangan Lim Guan Eng daripada dakwaan rasuah dihadapinya sudah dijangka.

“Perkara yang anda jangka akan berlaku telah berlaku. Saya sendiri tidak terkejut atas pembebasan beliau,” katanya kepada pemberita selepas majlis ceramah menyokong calon MCA dalam pilihan raya kecil Balakong, Tan Chee Teong di Desa Baiduri malam semalam.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Pontian tersebut mempersoalkan reaksi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap keputusan itu.

“Kenapa perdana menteri terkejut?,” katanya. “Barangkali beliau yakin Lim bersalah.

“Kenapa pula SPRM terperanjat? Saya fikir ini kerana SPRM percaya Lim bersalah. Jika mereka percaya beliau tidak bersalah, tentulah mereka tidak terperanjat. Saya fikir begitu.”

Lim dan ahli perniagaan Phang Li Koon dibebaskan daripada tuduhan rasuah terhadap mereka berkaitan pembelian sebuah banglo dipercayaai di bawah harga pasaran selepas pihak pendakwaan menggugurkan tuduhan.

Pendakwa meminta mahkamah menimbangkan keputusan melepaskan tanpa membebaskan 2 tertuduh itu.

Bagaimanapun hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan tertuduh selepas bersetuju dengan peguam pembelaan bahawa pendakwa tidak sepatutnya membiarkan tuduhan itu tergantung dan tertuduh mungkin didakwa semula pada masa depan.

Pada 30 Jun 2016, Lim dituduh menggunakan jawatan atau kedudukan awamnya sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk mendapatkan suapan kepada dirinya dan isterinya Betty Chew dengan meluluskan permohonan Magnificent Emblem Sdn Bhd untuk menukar syarat tanah pertanian kepada tanah perumahan dalam mesyuarat Exco negeri pada 18 Julai 2014.

Lim didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Kesiksaan kerana menggunakan kedudukan beliau untuk mendapat suapan dengan membeli sebuah banglo daripada Phang pada harga RM2.8 juta, yang lebih rendah daripada harga pasaran hartanah itu pada waktu itu sebanyak RM4.7 juta.

Phang didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Kesiksaan kerana bersubahat dengan Lim pada 28 Julai 2015.

Beliau didakwa melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Kesiksaan dengan menggunakan kedudukan Lim untuk suapan.