PRK Balakong: MCA, PAS tidak berprinsip, kata DAP

Setiausaha DAP Selangor Ean Yong Hian Wah berkata, sebelum ini MCA menentang prinsip PAS ingin melaksanakan hukum hudud dan menubuhkan negara teokratik. (Gambar Facebook)

BALAKONG: Kerjasama MCA dengan PAS pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong jelas membuktikan kedua-dua parti itu tidak berprinsip, kata Setiausaha DAP Selangor Ean Yong Hian Wah.

Katanya MCA turut dilihat sangat terdesak sehingga hilang pendirian, integriti dan ideologi politik mereka sehingga sanggup bekerjasama dengan PAS.

“Sebelum ini, mereka memang menentang prinsip PAS yang ingin melaksanakan hukum hudud dan menubuhkan negara teokratik.

“Tindakan MCA menjemput pemimpin PAS membantu berkempen di Balakong jelas membuktikan mereka menipu rakyat dan tidak berprinsip…Nampaknya mereka sudah lupa apa yang dikatakan kepada rakyat sebelum ini,” katanya pada sidang media bersama calon Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Ki di sini, hari ini.

Ean Yong yang juga pengarah PH PRK DUN Balakong berkata pengundi Balakong perlu sedar akan pendirian MCA yang “cakap tak serupa bikin”.

“Mereka perlu menolak MCA pada 8 Sept ini kerana jika pengundi menyokong MCA, maknanya mereka turut menyokong PAS dan Umno yang terjebak dalam rasuah dan skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.

Wong turut meminta para pemimpin MCA seperti presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan timbalan presiden, Datuk Seri Wee Ka Siong supaya tampil memohon maaf atas penipuan mereka terhadap rakyat.

“Mereka berkata parti mereka berjuang untuk semua, tetapi parti mereka sendiri sudah bernama ‘Malaysian Chinese Association’ jelas menunjukkan parti berasaskan kaum, mereka sebenarnya tidak layak untuk berkata demikian.

“Rakyat sudah melihat wajah sebenar MCA dan inilah masanya untuk mereka menolak sekeras-kerasnya parti tidak berintegriti itu,” katanya.

Pada Selasa lepas, Setiausaha Agung PAS yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan muncul di pentas MCA di kawasan kejiranan Melayu di Taman Tun Perak, Balakong untuk menyokong calon MCA, Tan Chee Teong.

Bagaimanapun Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan berkata Takiyuddin hadir tanpa jemputan pihaknya.

Takiyuddin dilaporkan berkata PAS menyokong MCA untuk PRK Balakong dalam semangat perpaduan pembangkang, yang disokong Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Semalam, Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun berkata kerjasama mereka dengan PAS bertujuan membentuk blok pembangkang yang kuat untuk menjalankan fungsi semak dan imbang.

PRK DUN Balakong yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam satu kemalangan jalan raya 20 Julai lepas, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Tan dan Wong.

Pada pilihan raya umum ke-14 9 Mei lepas, Ng menewaskan calon Barisan Nasional, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.