Rotan syariah: Kritikan KJ pandangan peribadi, kata Ismail Sabri

Hukuman tersebut mendapat perhatian dan kritikan banyak pihak kerana dilakukan secara terbuka. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Kritikan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin terhadap pelaksaan hukuman sebat depan khalayak ke atas pesalah syariah di Terengganu baru-baru ini hanyalah pandangan peribadi, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, kenyataan Khairy itu tidak sesekali mewakili keseluruhan parti memandangkan ia dibuat tanpa membabitkan keputusan Majlis Tertinggi parti itu.

“Kalau pandangan parti mesti diputuskan oleh mesyuarat Majlis Tertinggi atau sekurang-kurangnya mesyuarat pengurusan Umno.

“Jadi sesiapa yang beri pandangan selain daripada keputusan daripada Majlis Tertinggi dan juga pengurusan Umno, adalah pandangan peribadi,” katanya selepas menghadiri mesyuarat dengan PAS berhubung pilihan raya kecil Seri Setia di ibu pejabat PAS Selangor hari ini.

Terdahulu Ismail diminta mengulas mengenai kritikan Khairy terhadap hukuman tersebut yang menganggap masalah LGBT boleh diselesaikan dengan menggunakan cara lain.

Khairy dilaporkan berkata, walaupun termaktub dalam undang-undang, sebatan tidak wajar dilaksanakan di khalayak ramai.

Pada Isnin lepas, 2 wanita berusia 32 dan 22 tahun masing-masing dihukum sebat 6 kali di hadapan khalayak kerana cuba melakukan hubungan seks sejenis dalam sebuah kereta di Dataran Arena Square, Dungun, pada 1.50 tengah hari 8 April lalu.

Hukuman tersebut bagaimanapun mendapat perhatian dan kritikan banyak pihak kerana ia dilakukan secara terbuka.

Beberapa aktivis Islam terkenal, termasuk pengarah Islamic Renaissance Front (IRF), Datuk Dr Ahmad Farouk Musa menyifatkan hukuman sebat satu bentuk penghinaan, tidak berperikemanusiaan dan memalukan umat Islam serta Malaysia.

Namun hakim Syarie, Kamarulazmi Ismail berkata, hukuman itu berbentuk pengajaran, peringatan serta pencegahan kepada pesalah sendiri dan masyarakat bagi mengelakkan kes sama berulang.

Selain disebat, kedua-dua mereka turut didenda RM3,300 atau 4 bulan penjara, jika gagal membayar denda.