Sebat lesbian: Jangan tunjuk Islam agama bengis, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad menyarankan pihak berkuasa menjatuhkan hukum lebih ringan dengan memberi nasihat.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru pihak berkuasa agama negara ini tidak menunjukkan Islam sebagai agama yang bengis dan suka menjatuhkan hukuman berat yang mengaibkan penganutnya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai sepasang kekasih lesbian yang dikenakan hukuman 6 kali sebatan di Terengganu selepas mereka mengaku bersalah cuba melakukan hubungan seks sejenis.

Menerusi video di Facebook, Dr Mahathir berkata hukuman itu bukan cara yang digalakkan agama Islam.

“Ini adalah pendapat Kabinet kerajaan dan kami harap kita berhati-hati dalam mempamerkan Islam sebagai agama yang tidak ada tolak ansur, tidak ada bertimbang rasa,” katanya.

Isnin lalu, Kira-kira 100 orang khalayak umum menyaksikan pasangan itu dihukum sebat di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu.

Hukuman sebat di khalayak umum itu adalah pertama kali dilakukan di negeri ini yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

Dr Mahathir berkata Kabinet berpendapat hukuman itu tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa oleh agama Islam.

“Sebaliknya kita tahu ini adalah kes pertama bagi mereka dan biasanya dalam kes pertama kita perlu memberi nasihat dan tidak seterusnya melakukan (hukuman) sebat sehingga diketahui seluruh negara.

“Ini memberi gambaran yang buruk kepada agama Islam. Sebab itu kami (kerajaan) berpendapat kalaupun ada kes-kes yang semacam ini, pertimbangan hendaklah diberi dalam keadaan tertentu.

“Yang mana dalam Islam kita boleh menjatuhkan hukum yang lebih ringan sementara kita memberi nasihat dan sebagainya.”