Calon PAS Seri Setia terharu terima sokongan Umno

Calon PAS PRK DUN Seri Setia, Dr Halimah Ali pada sidang media di pejabat PAS Petaling Jaya Selatan.

PETALING JAYA: Calon PAS bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Seri Setia, Dr Halimah Ali terharu mendapat sokongan daripada semua jentera partinya dan Umno.

Beliau berkata sokongan mereka menjadikan jentera pembangkang kali ini lebih kuat dan mantap.

“Saya terharu dapat sambutan dan sokongan daripada jentera PAS seluruh negeri. Umno pun kerja pagi petang siang malam untuk menangkan PAS,” katanya pada sidang media di pejabat PAS Petaling Jaya Selatan hari ini.

Hari ini merupakan hari terakhir tempoh berkempen bagi DUN Seri Setia. Esok Halimah akan bersaing dengan calon Pakatan Harapan, Halimey Abu Bakar.

Semalam, PAS dan Umno mencipta sejarah baru apabila kedua-dua parti itu menyatakan sokongan secara terbuka kepada satu calon pilihan raya sejak 1970-an.

Parti agama dan parti bangsa itu mempunyai sejarah perseteruan yang panjang sejak PAS mengundurkan diri daripada Barisan Nasional pada 1977.

‘One-off’?

Sementara itu, ahli-ahli bawahan yang ditemui FMT tiada masalah dengan kerjasama ini walaupun sejarah panjang antara parti mereka.

Mereka percaya kerjasama akan memberi kelebihan kepada parti masing-masing.

“Kita tidak ada perjanjian, hanya ada kerjasama sahaja. Secara ‘one-off’,” kata ahli PAS, Yunof Mahyuddin, 36. “Umno nak bantu terpulang. Kalau PH nak undi kita, ikutlah. Kita perlukan undi mereka.”

Khairul Anwar turut bersetuju dengan rakan separti. “Setakat ini, dengar dari ceramah, bukan gabungan tetapi hanya kerjasama untuk Islam”.

“Kita rasa PAS nak gerak sendiri susah juga. Perkembangan terbaru, MIC dan MCA juga membantu. Yang penting kerjasama blok pembangkang.”

Seorang ahli Umno, Zainal Adzam berkata partinya perlu mencuba perkara baru untuk menguatkan blok pembangkang.

“Satu perkembangan yang positif. Tidak ada masalah,” katanya.

Rakan separti, Azlan Bakar pula percaya kerjasama antara parti-parti pembangkang akan memberi kebaikan kepada rakyat

“Satu perkembangan yang sihat. Kita sokong pucuk pimpinan,” katanya.