Gadis bertudung masuk final Miss England

Seorang pelajar undang-undang beragama Islam menjadi wanita bertudung pertama yang menyertai acara final Miss England.

Sara Iftekhar dari Huddersfield, bertanding dengan 49 peserta lain di Kelham Hall di Newark, Nottinghamshire.

Gadis yang baru berusia 20 tahun itu sering berkongsi gambar Instagram dirinya dalam pakaian tradisional Pakistan.

Selepas memenangi Miss Huddersfield 2018, Iftekhar akui pengalamannya menyertai acara final sebagai sesuatu yang luar biasa.

Namun dalam pertandingan ratu cantik yang penuh berprestij itu, Sara terpaksa akur kepada Alisha Cowie akhirnya dinobatkan sebagai Miss England 2018.

Iftekhar berkecimpung dalam perniagaan pakaian sejak berusia 16 tahun berkata: “Saya tidak berharap untuk mencipta sejarah tetapi hari ini saya berasa amat bangga.

“Saya tetap seorang gadis biasa dan kita semua mempunyai peluang yang adil dalam peraduan ini.

“Jika saya memilih untuk menutup aurat diri dan berpakaian sederhana, ia tidak seharusnya menjadi masalah. Saya juga sama seperti peserta lain,” katanya.

“Saya menyertai Miss England 2018 untuk menunjukkan kecantikan tidak mempunyai definisi khusus. Semua orang cantik dengan cara mereka sendiri, tanpa mengira berat badan, bangsa, warna atau bentuk.”

Peserta lain Miss England 2018 termasuk Sophie Hall, yang memiliki parut kekal selepas serangan asid di Timur London dan aktiivis kesihatan mental Sarah-Jane Hulyer.

Pemenangnya, Cowie akan mewakili England ke pertandingan Miss World di Sanya, China, pada bulan Disember.