Kit Siang beri 2 hari kepada Hanif buktikan dakwaan ‘bahagi’ Semenanjung

PETALING JAYA: Veteran DAP Lim Kit Siang mencabar bekas ketua polis negara Tun Hanif Omar mendedahkan bila dan di mana dia mencadangkan Semenanjung Malaysia dibahagikan mengikut kaum.

Lim memberikan tempoh 2 hari kepada Hanif untuk menjawab cabaran itu, dan berkata dia berhak memulakan tindakan undang-undang untuk membersihkan nama baiknya.

“Kalau maklumat itu dikelaskan sebagai rahsia rasmi, maka kerahsiaan itu mesti digugurkan.

“Bagaimanapun adakah maklumat seperti itu akan dikelaskan sebagai rahsia rasmi jika saya benar-benar membuat cadangan itu yang menyebabkan dia memasukkan saya ke penjara?”

Ketua polis negara dari 1974 hingga 1994 di satu acara di Universiti Teknologi Mara pada 6 September berkata dia memasukkan Lim ke penjara bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana DAP mencadangkan Semenanjung Malaysia dibahagikan kepada 2, iaitu pantai timur untuk orang Melayu dan pantai barat untuk orang Cina.

Lim menepis kata-kata Hanif itu, mengatakan ia cerita bohong dan banyak kesilapan.

“Ini kali pertamasaya dengar dia bertanggungjawab atas penahanan pertama saya bawah ISA,” katanya.

“Pertama sekali, dia bukan KPN semasa saya pertama kali ditahan bawah ISA pada 18 Mei 1969.

“Hanif berkhidmat sebagai KPN dari 1974 hingga 1994 selepas saya dibebaskan daripada tahanan ISA pada 1 Oktober 1970.”

Selain itu, Barisan Nasional juga tidak ditubuhkan sejurus selepas pilihan raya umum 10 Mei 1969.

“Ia ditubuhkan pada 1973 sebelum Hanif jadi KPN.

“Mesti ada perbincangan untuk menubuhkan BN sebelum 1973 tetapi idea itu BN tidak ada semasa saya ditahan bawah ISA pada 18 Mei 1969.”

Lim berkata dia pemimpin politik yang paling diburukkan dalam setengah abad lepas.

“Saya dituduh komunis, bertanggungjawab untuk rusuhan 13 MEi 1969, memimpin tunjuk perasaan di Kuala Lumpur melaungkan slogan anti-Melayu dan anti-Islam walaupun saya tidak berada di Kuala Lumpur selepas pilihan raya 10 Mei 1969.

“Saya digambarkan seperti syaitan, puaka dan jembalang, dituduh anti-Melayu dan anti-Islam, digelar alat kuasa asing.

“Saya dituduh mendominasi Pakatan Harapan (PH) dan menjadikan pemimpin lain seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Mohamad Sabu alat dan boneka saya, dan mahu menjadi perdana menteri jika PH menang PRU14.

“Tetapi semua pembohongan dan dusta itu tidak setanding cerita bohong Hanif bahawa saya menganjurkan Semenanjung Malaysia dibahagikan kepada 2, pantai timur untuk Melayu dan pantai barat untuk Cina, selepas PRU Mei 1969,” katanya.