Krisis kewangan: 40,000 pekerja pembinaan Argentina bakal diberhentikan
Bank pusat menaikkan kadar faedah kepada 60% bertujuan mengekang kenaikan inflasi sekali gus menyebabkan penurunan nilai peso.
BUENOS AIRES: Sektor pembinaan Argentina mungkin terpaksa memberhentikan kira-kira 40,000 pekerja dalam tempoh beberapa bulan akan datang kerana tidak mampu membiayai projek disebabkan kadar faedah tinggi dikenakan bank pusat, demikian menurut pakar.
Minggu lalu, bank pusat menaikkan kadar faedah kepada 60% bertujuan mengekang kenaikan inflasi sekali gus menyebabkan penurunan nilai peso.
Eksekutif di sektor pembinaan mengatakan, ia tidak dapat mengakses kredit yang cukup untuk membiayai aktiviti menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat seperti mana dijanjikan presiden Mauricio Macri.
“Bank menarik balik pembiayaan ke atas syarikat yang menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyat,” kata presiden Dewan Pembinaan Gustavo Weiss.
Kerajaan juga memperkenalkan langkah penjimatan baru, termasuk mengurangkan 10 kementerian.
Bulan lepas, ia mengumumkan pemotongan peruntukan sebanyak AS$99 juta untuk sektor pendidikan awam, yang menyaksikan berlakunya tunjuk perasaan di Buenos Aires.
Langkah mengurangkan kos dan peningkatan cukai ke atas komoditi eksport pertanian tertentu diambil bagi memulihkan keyakinan pelabur. Ia juga dibuat sebagai sebahagian daripada syarat pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Bagaimanapun, sesetengah pelabur bimbang kerajaan tidak mampu membayar pinjaman IMF sebanyak AS$50 bilion, dengan 30% pinjaman telah diterima dan kini menunggu baki selebihnya.
Weiss berkata kadar faedah tinggi dan nilai peso yang rendah, menyebabkan syarikat pembinaan tempatan sukar menyelesaikan projek sedia ada, melaksanakan projek baru dan membeli bahan import.
Situasi itu akan merosakkan lagi ekonomi negara, yang menurut pakar, bakal mengalami kemelesetan dalam masa sebulan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Pada Jun, Argentina menganugerahkan 6 projek pembinaan jalan raya kepada konsortium berbeza di bawah gelombang pertama perkongsian awam-swasta (PPP), termasuk kepada pihak Kejuruteraan Pembinaan China.