Larangan merokok: Pengusaha restoran berbeza pendapat

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, mulai Disember depan semua restoran terbuka akan diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok. (Gambar Bloomberg)

PETALING JAYA: Dua pengusaha restoran berbeza pendapat tentang cadangan Kementerian Kesihatan mahu menjadikan semua restoran terbuka kawasan larangan merokok.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas), T Muthusamy tidak bersetuju dengan larangan itu kerana percaya ramai pengunjung memilih restoran terbuka sebagai ruang berehat sambil merokok, selain mencadangkan ruangan khusus untuk perokok sekiranya larangan itu dilaksanakan.

“Jika kerajaan ingin laksanakan undang-undang ini, mereka perlu beri sekurang-kurangnya sedikit ruangan untuk perokok.

“Sudah menjadi tradisi rakyat Malaysia sejak dahulu lagi untuk merokok selepas makan sambil menonton bola atau ‘lepak’ bersama kawan di kedai makan terbuka,” katanya kepada FMT.

Disebabkan itu juga katanya, banyak restoran India menjual rokok kerana permintaan yang tinggi daripada pengunjung.

Baru-baru ini Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, mulai Disember depan semua restoran terbuka akan diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok.

Bagaimanapun katanya, kementerian masih dalam peringkat perbincangan dengan pihak berkepentingan berhubung cadangan berkenaan.

Sekiranya dilaksanakan larangan itu memperuntukkan hukuman denda sebanyak RM10,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun sekiranya tidak dipatuhi.

Sementara itu, pemilik restoran Ali Maju menyambut baik cadangan tersebut untuk dilaksanakan di semua restoran terbuka.

Pemilik restoran, Datuk Jawahar Ali berkata, restorannya di Putrajaya sudah lama mematuhi peraturan larangan merokok seperti dicadangkan pihak kementerian.

“Jika peraturan ini tidak dipatuhi, pemilik restoran di Putrajaya akan dikenakan denda.

Selain itu katanya, restoran beliau juga tidak menjual rokok atau sisha kerana beranggapan orang ramai akan terganggu oleh kegiatan itu walaupun di ruangan terbuka.

Jawahar berkata, beliau juga banyak menampal notis larangan merokok di restorannya supaya perokok mematuhi peraturan.

“Peraturan larangan merokok di semua restoran terbuka adalah satu langkah baik bagi memastikan tabiat merokok tidak membahayakan kesihatan orang lain,” katanya.