Pasangan warga emas dipaksa telan pil sebelum disamun

Polis masih belum mengetahui jenis pil yang diberi oleh suspek kepada mangsa.

MELAKA: Sepasang suami isteri warga emas dipaksa menelan pil sebelum pengsan dalam satu kejadian samun di Jalan Melaka-Muar, Kampung Pernu, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Afzanizar Ahmad berkata kedua mangsa berumur 67 dan 66 tahun itu diikat dengan kabel telefon sebelum dipaksa menelan 3 biji pil besar dan 3 biji pil kecil menyebabkan kedua-dua mangsa tidak sedarkan diri.

Beliau berkata penyamun melarikan wang tunai RM3,000 dan 2 telefon bimbit milik mangsa.

“Kedua-dua mangsa baharu sedarkan diri tadi dan kini masih dirawat di zon merah Hospital Melaka, namum pihak polis masih belum mengetahui jenis pil yang diberi oleh suspek kepada mangsa,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Beliau berkata mangsa lelaki mengalami kesan calar pada kedua pergelangan tangan, manakala mangsa wanita mengalami bengkak pada bahagian muka dan tulang hidung berdarah.

“Mengikut saksi kejadian, beliau menyedari kejadian tersebut pada kira-kira pukul 8.20 malam apabila mangsa yang merupakan bapa saudaranya melambai ke arahnya.

Mangsa (suami) sempat memberitahu saksi isterinya dirompak sebelum tidak sedarkan diri,” katanya.

Beliau berkata polis turut menemui senjata berupa pisau pemotong sayur sepanjang 6 inci milik mangsa dipercayai diguna oleh suspek untuk mengugut mereka.

Afzanizar berkata pihak polis tidak menolak kemungkinan suspek lebih daripada seorang.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.