PRK Seri Setia: Halimey yakin 96% menang
Bekas ahli MBPJ itu berkata, sepanjang tempoh berkempen beliau melakukan segala gerak kerja dan melawat semua kawasan di DUN berkenaan bagi meraih undi.
PETALING JAYA: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar meletakkan 96% keyakinan akan memenangi kerusi DUN itu esok.
Bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu berkata, sepanjang tempoh berkempen beliau melakukan segala gerak kerja dan melawat semua kawasan di DUN berkenaan bagi meraih undi.
“Alhamdulillah setakat ini saya letakkan 96% boleh menang, kerja pun kita (PH) dah buat, kawasan pun kita dah pergi dan malam ini adalah ‘grand finale’ (dan esok penentu segalanya),” katanya dalam sidang media pada hari terakhir kempen di sini, hari ini.
Halimey berdepan pertandingan satu lawan satu menentang calon PAS yang juga bekas anggota Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Halimah Ali bagi mengisi kekosongan kerusi DUN Seri Setia susulan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus pada 2 Ogos lepas.
Menurut beliau lagi, sekiranya dipilih sebagai Adun, kehidupan penduduk Seri Setia akan lebih terjamin serta terbela berikutan kerajaan persekutuan dan negeri ditadbir oleh parti yang sama iaitu PH.
“Sekiranya saya diberi mandat sebagai wakil rakyat, ia akan memperkuatkan lagi suara PH dalam sidang DUN Selangor serta memudahkan segala perjalanan ataupun tugasan kita untuk sesuatu perkara.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Selain itu, saya juga akan memastikan segala perancangan semasa menjadi ahli MBPJ dulu serta janji saya ketika berkempen seperti program Inisiatif Peduli Rakyat akan dilaksanakan di seluruh kawasan (DUN) Seri Setia jika pengundi memilih saya sebagai wakil rakyat mereka,” katanya.