Shisha pun sama bahaya dengan rokok

Shisha mempunyai rasa yang manis dan bau yang menarik berbanding rokok, tidak bermakna ia lebih baik atau sihat dari rokok.

Shisha adalah cara merokok tembakau ala Timur Tengah yang menggunakan alat berupa balang berisi air dan paip serta mangkuk sebagai tempat melepaskan asap.

Tembakau yang dipanaskan ditambah dengan cecair perasa supaya wanginya tidak menampakkan ia berbahaya.

Namun, menurut satu penelitian oleh University of California, Los Angeles (UCLA), Amerika Syarikat, shisha turut memberi kesan jangka pendek yang sama dengan rokok konvensional.

“Salah satu masalah yang besar berkaitan penggunaan shisha adalah ia memiliki rasa buah dan gula-gula. Ia membuatkan shisha popular sebagai produk tembakau yang diminati dalam kalangan penikmatnya,” kata ketua kajian, Rezk-Hanna, petik Daily Mail.

Secara dasar, menghisap shisha dan merokok tembakau adalah 2 perkara berbeza.

Berbeza dengan merokok, shisha dilihat sebagai aktiviti sosial bersama teman kerana ia dilakukan secara berkumpulan bersama rakan dan berlangsung untuk satu tempoh masa yang lama dan tetap. Setiap pengguna paling banyak menghisap shisha sebanyak 10 kali.

Kajian ini yang melibatkan 48 remaja yang mengikuti pemeriksaan kesihatan sebelum diminta untuk menghisap shisha. Selepas 30 minit digunakan, kesihatan peserta kajian diperiksa semula.

Hasilnya, jantung para peserta didapati bersih tetapi denyutannya meningkat lebih cepat. Dalam keadaan normal, jantung akan berdenyut antara 60 hingga 100 kali seminit. Selepas penggunaan shisha, angka itu meningkat sehingga 16 denyutan setiap minit secara purata.

Kesan jangka pendek shisha juga dikesan dalam aliran darah di mana kehadiran plak menghalang aliran darah di arteri seperti mana kesannya dengan rokok konvensional.

“Jadi, kajian kami sama sekali menafikan tembakau menggunakan shisha sebagai alternatif yang lebih sihat berbanding rokok konvensional,” tegas Mary.