Tentang Crazy Rich Asians (awas ‘spoiler alert’)

Sudahkah anda menonton filem “Crazy Rich Asians”? Jika belum, tulisan ini akan menjadi perosak (spoiler) yang mendedahkan sedikit sebanyak kekuatan, dan kelemahan filem tersebut.

Untuk makluman, filem adaptasi Crazy Rich Asians sedang menabrak pawagam di Barat dengan kutipan pecah panggung yang membanggakan.

Hanya 25 tahun yang lalu, sebuah filem dengan semua pelakonnya berwajah Asia pernah melakukan seumpama itu menerusi filem The Joy Luck Club (1993). Oleh demikian, Crazy Rich Asians dianggap oleh pemerhati industri filem sebagai satu pencapaian. Masyarakat penghijrah Asia di Barat menganggap filem ini sangat mewakili mereka.

Pertamanya, penggemar sastera popular yang pernah membaca Crazy Rich Asians (2013) karangan Kevin Kwan mungkin akan berasa kecewa dengan adaptasi ke layar perak oleh Peter Chiarelli dan Adele Lim, dan diberi kenyataan visual di tangan pengarah Jon M. Chu.

Plot tebal dalam Crazy Rich Asians mengalami pemesongan, dan diketepikan dengan sengaja. Kompleksiti watak dan satira hidup yang membolehkan pembaca menghubungkan diri dengan majalah gaya hidup mewah, dengan kerlipan barang kemas dan barangan berjenama hanya menjadi perhiasan di medium filem.

Di dalam novel, Rachel Chu bukanlah satu-satunya tumpuan tetapi di filem, oleh sebab ia diperagakan sebagai sebuah genre romantik komedi, watak Rachel itu diangkat sebagai sentral. Juga, membaca bukunya, tidak akan terasa terlalu disuguhkan dengan Singapura. Ia hanya sebuah latar yang saksama.

Namun, filemnya membuatkan kita terasa jengkel, ia adalah seumpama iklan Tahun Melawat Singapura. Tentu, sekiranya pengarah Jon M. Chu harus setia dengan buku Kwan, ia terpaksa melakukan adaptasi untuk saluran televisyen berbayar Netflix.

Saya juga menilai lakonan Constance Wu sebagai Rachel Chu, dan Henry Golding sebagai Nick Young, iaitu teman lelaki Rachel membosankan (maaf Henry mungkin ada peluang lain). Watak Eleanor yang dilakonkan oleh Michelle Yeoh sebagai ibu Nick dan Gemma Chan sebagai Astrid Leong-Teo, sepupu Nick berkesan hanya pada satu dua ketika. Apatah lagi watak sepenting Su Yi, nenek atau kuasa matriarki keluarga Young lakonan Lisa Lu serasa hambar. Pujian yang banyak diberikan kepada Awkwafina sebagai Goh Peik Lin, rakan sekolej Rachel asal Singapura mengingatkan saya jenaka ala sitkom Phua Chu Kang Pte Ltd.

Akan tetapi semua kekuatan Crazy Rich Asians selaku sebuah buku, yang gagal diterjemahkan ke filem diselamatkan; oleh satu adegan penuh makna. Ia merupakan adegan mahjong yang tidak ada di dalam novel dan diangkat menjadi “katarsis” di layar perak.

Di sinilah letaknya “rahsia” apa yang dinamakan adaptasi yang mungkin Kwan (selaku penulis novel) persetujui tanpa mengetahuinya.

Apabila seseorang karyawan melakukan adaptasi teks sastera ke filem, ia terpaksa menempuh 3 mode konvensional iaitu peminjaman, pertindihan dan pemindahan yang akur.

Pendekatan yang dinamai peminjaman adalah yang paling sering dilakukan dalam proses adaptasi yang mana “peminjaman” antara 2 medium yang ingin dikenalpasti adalah tarikan sebenar naskah yang boleh dipindahkan ke medium filem dan kekal menjadi tarikan yang sama. Dalam hal ini aspek kegilaan, kekayaan dan dalam masa yang sama ketimuran yang ada pada novel Kwan disalurkan ke filem.

Kisah cinta Rachel dan Nick juga diketengahkan, meskipun di dalam novel, pembaca tahu bahawa hubungan cinta Rachel dan Nick menjadi sangat lesu di hujungnya dan penuh tanda tanya berbanding di filem. Itu adalah tarikan yang dipinjam dan dipakej semula, meskipun, banyak sebab dan akibat dari naskah asal yang dikesampingkan apabila ia dijelmakan sebagai filem.

Terdapat juga pertindihan dalam adaptasi yang mana pengekalan keunikan teks asal yang tidak diusik sehingga terkesan hubungannya antara medium asal (naskah) dan medium pindah (filem). Secara dasarnya, watak-watak sampingan sekitar Rachel dan Nick yang bertujuan memberi kelegaan komik, baik di dalam buku mahupun filem diangkat kembali.

Meskipun watak-watak ini, sebagai contoh watak Peik Lin, jauh lebih menghiburkan di dalam buku.

Akan tetapi kekuatan Crazy Rich Asians sebagai sebuah filem, bagi saya, terdapat pada adegan mahjong yang merupakan maksud sebenar adaptasi.

Dalam hal ini karyawan filem menempuh mode pemindahan yang akur yakni bila mana adaptasi yang bersifat semangat karya diberikan pemerhatian rapi, ditangani dengan penuh sukar untuk ditampilkan di skrin.

Ia memerlukan kefahaman hubungan dan latar karektor (dalam hal ini Asia dan Singapura), aspek geografi dan sosiologi yakni dalam hal ini pertembungan dua Cina iaitu Cina yang masih berada tubuh badannya di Asia, dengan Cina yang sudah menjadi Barat kerana sudah berhijrah ke Barat (dalam hal ini Amerika Syarikat).

Pemindahan yang lebih sukar di bawah mode ini tentulah adaptasi komponen budaya yang dipindahkan dengan saksama tetapi masih dengan tujuan tertentu. Di sinilah adegan mahjong yang tiada di dalam novel, tetapi diwujudkan di medium filem menjadi objektif tunggal Crazy Rich Asians.

Di sinilah tempatnya, kaca mata sosiologi dapat digunakan untuk mengangkat apa yang disebut oleh pengkaji naratologi Dudley Andrew dalam makalah penting beliau, “Adaptation” (ditulis pada pada tahun 1984) bahawa satu aspek yang wajar dilihat antara lain apabila sebuah karya seni diadaptasi adalah apa yang dinamakan sebagai “pusingan sosiologi”.

Ini ialah apabila pengkaji filem tidak lagi sekadar menganalisis naratologi dan aspek formalisme tetapi melihat bagaimana, antara lain, adaptasi itu berperanan di dalam sinema. Ini bermakna adaptasi yang dilakukan serba sedikit mempunyai fungsi atau mesej tertentu yang boleh dicari dan dipugar kembali.

Permainan mahjong adalah satu khazanah budaya Cina yang kadang-kala dianggap sebagai permainan untuk berjudi. Makanya adegan dua watak utama Crazy Rich Asians yang masing-masing berebutkan Nick bermain mahjong menjadi satu perjudian. Ingat, di dalam novel adegan ini tiada.

Dalam hal ini Rachel (watak Constance Wu) yang mencintai Nick dan ibunya Nick, Eleanor (di sinilah Michelle Yeoh menonjol) memperjudikan nasib orang yang mereka cintai. Bermain mahjong tidak syak lagi merupakan satu identifikasi jatidiri Cina yang dijual dengan penuh berkesan.

Kata Rachel, ibu saya mengajar saya bermain mahjong. Eleanor menjawab, ibuku juga: OK, jadi kedua-duanya Cina, tetapi Cina manakah yang lebih baik?

Mahjong membabitkan kemahiran, strategi, dan pengiraan matematik yang cekatan, selain tentunya faktor nasib. Di dalam mahjong, matlamat permainan adalah untuk membina set lengkap – atau gabungan – biasanya bertiga, dari samada 13 atau 16 keping. Orang pertama yang mendapatkannya adalah dikira pemenang. Kepingan yang memberi kemenangan melengkapkan set pemain sama ada 14 atau 17 keping.

Di dalam adegan ini, Rachel yang tahu Eleanor bermain untuk menang, membiarkan Eleanor menjuarai, meskipun sebetulnya dia sudah mempunyai set lengkap. Dia dengan sengaja membiarkan Eleanor mendedahkan setnya yang telah lengkap lebih dulu dan di situlah Rachel menggunakan kukunya sebagai “helo aku juga perempuan Asia” mengerkah leher Eleanor dengan kata-kata (lebih kurang); “Nick telah melamar, tetapi aku menolak; dan satu hari nanti apabila kau bermain dengan cucu, anak-anak Nick, kau akan ingat bahawa perempuan yang kononnya sempurna itu dan kebahagiaan yang kalian kecapi dapat hanya berlaku kerana aku perempuan yang kau katakan tidak serupa denganmu, tidak cukup Timur, tiada sesiapa dan anak pendatang telah memilih untuk tidak menang.”

Kata-kata Rachel itu sangat mengesankan Eleanor yang kemudian terpampan dengan set lengkap mahjong Rachel bahawa anak gadis Cina New York itu sebetulnya boleh dan telah menang tetapi memilih untuk melakukan satu yang dianggapnya sangat Timur; berkorban untuk orang yang dicintai.

Adegan itu menjadi lebih menggetarkan apabila Rachel bingkas untuk pulang ke New York bersama ibunya seraya berpaut lengan. Di situ untuk pertama kali, ibu Rachel (lakonan kemas Tan Kheng Hua) dan Eleanor (ibu Nick) bertentang mata yang mana merupakan pertunjukan konflik bagaimana mengasuh anak-anak ala Barat dan Timur.

Tentu, cara membesarkan ala Barat (menjadikan anak seumpama kawan baik) dimenangkan dan Eleanor seorang watak ibu Timur yang digambarkan “mengongkong dan menentukan anak harus jadi apa ala tipikal wanita Asia” ditewaskan dengan teruk sekali.

Sekali lagi ingat, di dalam novel adegan mahjong ini tiada. Dan Rachel pernah mengkritik kekasihnya Nick kerana terlalu mendewakan ibunya. Bahkan, di dalam novel tiada siapa yang menang; tiada adegan lamaran Nick kepada Rachel.

Di situlah sosiologi U-turn yang disebutkan oleh pengkaji Dudley Andrew menjadi titik penjelasan. Adaptasi ini, khusus pada adegan mahjong itu, hadir untuk menunjukkan bahawa “hei kerangka Barat lebih baik berbanding kerangka Timur”.

Itulah peranan sosiologi adaptasi yang meletakkan mengapa Crazy Rich Asians sangat masyhur dan pecah panggung di Barat tetapi diterima suam-suam kuku di Singapura, atau di Asia sendiri. Maka tidaklah aneh masyarakat penghijrah Asia di Barat menganggap filem ini sangat mewakili mereka.

Hei kerangka Barat sudah menang. Akan selalu menang. Pergilah tonton.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.