Calon PH PRK Seri Setia nasihat pengundi keluar awal, elak hujan

Halimey menasihatkan pengundi keluar mengundi lebih awal melihatkan keadaan cuaca yang tidak menentu.

PETALING JAYA: Calon Pakatan Harapan bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia Halimey Abu Bakar menyeru pengundi berdaftar di kawasan itu supaya tidak keluar mengundi pada saat akhir.

Katanya, pengundi dinasihatkan keluar mengundi lebih awal melihatkan kepada keadaan cuaca yang tidak menentu hari ini.

“Saya minta pengundi Seri Setia yang masih lagi belum mengundi untuk keluar mengundi lebih awal lagi sebab kita tengok cuaca pun dah gelap.

“Saya harap semua dapat keluar mengundi dan saya doakan supaya hari ini semuanya berjalan dengan lancar,” katanya ketika ditemui pemberita pagi tadi.

Halimey ditemui media selepas selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan pada jam 8:40 pagi tadi bersama ibu dan adiknya yang turut mengundi di pusat pengundian sama.

Terdahulu Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan pada sebelah pagi di Seri Setia.

Cuasa di sini bagaimanapun agak cerah pada ketika ini meskipun kelihatan mendung pada awal pagi tadi.

PRK ini menyaksikan bendera PH digunakan buat pertama kalinya selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu.

PRK DUN Seri Setia menyaksikan pertandingan 2 penjuru antara Halimey dengan calon PAS Dr Halimah Ali. Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas kerana barah usus.

DUN Seri Setia mempunyai 53,492 pemilih berdaftar, terdiri daripada 50,692 pengundi biasa, 2,770 pengundi awal dan 30 orang pengundi tidak hadir luar negara.