Henti kempen pada hari pengundian, kata SPR

Timbalan pengerusi SPR, Othman Mahmood berkata, mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, tiada sebarang kempen boleh dilakukan bermula tepat jam 12 malam pada hari pengundian.

PETALING JAYA: Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Othman Mahmood menyeru penyokong kedua-dua parti bagi calon yang bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia dan Balakong menghentikan kempen mereka serta-merta.

Katanya mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, tiada sebarang kempen boleh dilakukan bermula tepat jam 12 malam pada hari pengundian.

“Kita sudah maklumkan kepada calon dan penyokong tidak boleh berkempen pada hari pengundian.

“Kita sudah arahkan pasukan SPR mengambil tindakan supaya mereka bersurai dan balik khemah sendiri.

“Kita boleh ambil tindakan penguatkuasaan tetapi kita mahu ia dibuat secara harmoni dan proses pengundian berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas melawat salah satu pusat mengundi Seri Setia di Dewan D’ Kelana, di sini.

Seksyen 26(1)(a) akta pilihan raya menyebut pada hari mengundi tiada seorang pun boleh mengadakan, memanggil atau mengaturkan di mana-mana tempat, apa-apa bentuk perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan atau hiburan atau memberikan apa-apa bentuk ucapan atau syarahan atau perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan, hiburan, ucapan atau syarahan terbuka kepada atau melibatkan orang ramai atau selainnya.

Terdahulu tinjauan mendapati di DUN Seri Setia masih ramai penyokong Pakatan Harapan (PH) dan PAS giat berkempen di luar pusat pengundian.

Penyokong parti bertanding di sekitar Jalan PJS 10/11 dan Sekolah (J) Kebangsaan Tamil Seaport masih mengibarkan bendera parti masing-masing sambil menyeru pengundi turun mengundi.

Seorang pemimpin PAS dari Kelantan yang juga merupakan ADUN Tanjung Emas, Rohani Ibrahim berkata ahli PAS berkempen bagi menyokong Dr Halimah Ali sebagai calon di Seri Setia.

“Tidak salah untuk kami berkempen pada hari pengundian asalkan ia dilakukan 50 meter dari pusat pengundian,” katanya.

Manakala itu seorang penyokong PH yang juga calon exco Wanita PKR Pusat Napsiah Khamis berkata mereka bukan keluar untuk berkempen, namun hanya menyatakan sokongan kepada calon PH Halimey Abu Bakar.

“Kita dibenarkan meraih undi, maksudnya kalau orang datang kita boleh suruh pengundi menyokong PH,” katanya pula.

PRK DUN Seri Setia menyaksikan pertandingan 2 penjuru antara calon PH Halimey Abu Bakar dengan calon PAS Dr Halimah Ali.

Sebanyak 18 pusat pengundian dengan 115 saluran bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Seri Setia dibuka mulai 8 pagi tadi bagi membolehkan 50,722 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.