Kami sedia bertemu pengkritik hukuman kes lesbian, kata exco

Mohd Nor Hamzah berkata menteri besar boleh bertemu perdana menteri bila-bila masa.

KUALA LUMPUR: Seorang exco Terengganu berkata kerajaan negeri sedia bertemu pengkritik isu hukuman sebatan rotan syariah di khalayak dalam satu kes lesbian di negeri itu baru-baru ini, termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohd Nor Hamzah, yang memegang portfolio modal insan, dakwah dan maklumat berkata, kerajaan negeri sedia memberi penjelasan kepada pengkritik mereka.

“Menteri besar boleh bertemu Dr Mahathir bila-bila masa,” katanya, merujuk kepada Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Kita sudah beri penjelasan dalam beberapa kenyataan. Kita tidak ada masalah jika nak perjumpaan khusus. Perkara ini sudah disimpulkan enakmen dan mahkamah. Ini bukan perkara baru yang dibincang.”

Mohd Nor berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri seminar tentang koperasi hari ini.

Dua wanita, berusia 22 dan 32, dijatuhkan hukuman rotan 6 kali oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada Isnin di depan hakim dan 100 saksi.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, kumpulan hak asasi dan ahli politik seperti Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Khairy Jamaluddin mengkritik langkah menghukum kedua-dua wanita itu di khalayak.

Mohd Nor mempertahankan pelaksanaan hukuman di khalayak ramai sebagai langkah pencegahan.

“Hakim beri tempoh 14 hari rayuan tapi dia tidak merayu. Kita masih ada mahkamah rayuan dan boleh nilai semula tapi dia tidak buat. Sudah bertaubat, insyaAllah.

“Hukuman itu dijalankan dalam mahkamah dan tidak disiarkan secara langsung ke dunia luar,” katanya.

Beliau berkata penduduk tempatan tiada isu dengan hukuman tersebut dan kerajaan negeri tidak mencampuri proses hukuman kerana di luar bidang kuasanya.

“Bukan hak menteri besar dan di luar kuasa legislatif dan eksekutif. Kita tidak mahu ganggu kuasa kehakiman kerana nanti akan bercelaru,” tambahnya.

Ditanya adakah kerajaan negeri menghubungi kedua-dua wanita itu selepas hukuman dijalankan, Mohd Nor berkata ia mahu menghormati privasi mereka dan berharap mereka boleh teruskan dengan kehidupan masing-masing.