Kita sedang diuji dengan kuasa, pesan Muhyiddin pada PPBM

PETALING JAYA: Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin berpesan kepada PPBM supaya memelihara disiplin, amanah, semai perpaduan, utamakan perjuangan dan komitmen kerana mereka sedang diuji dengan kekuasaan.

Muhyiddin, yang menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada pankreas 12 Julai lepas, menyampaikan amanat itu di majlis sambutan ulangtahun ke-2 PPBM di Shah Alam, Selangor malam tadi.

Ucapannya disampaikan menerusi satu klip video yang ditayangkan kepada hadirin, dan Muhyiddin memohon maaf kepada perwakilan kerana tidak dapat meraikan ulangtahun parti Bumiputera itu bersama mereka, “atas sebab kesihatan saya yang belum mengizinkan”.

“Tuhan sedang menguji kita dengan kuasa. Adakah kita akan menggunakan kuasa untuk melakukan kebaikan atau mendatangkan kerosakan,” kata Muhyiddin malam tadi, di hadapan lebih 1,000 orang hadirin di Stadium Malawati.

“Jika kita menganggap kuasa sebagai suatu anugerah yang memberi peluang kepada mereka yang memilikinya untuk menggunakan kuasa demi kepentingan peribadi, maka lama kelamaan kuasa yang kita miliki ini akan merosakkan diri dan parti.”

Beliau menyeru PPBM supaya belajar daripada sejarah tentang parti lawan yang amat berkuasa suatu masa dahulu dicabut kuasa kerana melakukan banyak kerosakan dan salahguna kuasa.

Muhyiddin menggesa ahli parti memelihara disiplin dengan berkongsi peristiwa kekalahan tentera Islam semasa Perang Uhud.

“Ketika tentera Islam hampir menang, ada yang ingkar perintah Rasulullah dengan meninggalkan Bukit Uhud semata-mata untuk merebut harta rampasan perang. Sedang mereka leka mengutip laba, musuh datang menyerang dan mengalahkan mereka,” katanya.

Muhyiddin juga mengingatkan ahli parti tentang amanah, kerana rakyat sedang memerhati dan menilai tindak tanduk mereka.

“Jangan kita bertindak cuai sehinggakan kita dilihat sengaja melanggar janji kita sendiri untuk menegakkan kerajaan yang berintegriti dan amanah,” katanya.

Beliau seterusnya menyeru ahli parti untuk terus memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, 93, untuk terus memimpin negara, kerana mereka masih sedang mengharungi masa sukar.

“Saya ingin mengingatkan fasa perjuangan ini masih getir. Dalam keadaan negara sedang menjalani proses pemulihan, masih ada pengorbanan yang mesti kita lakukan.

“Justeru, jangan kecewa jika ada permintaan yang tidak dapat dipenuhi pada masa ini.”

Semalam, kira-kira seramai lebih 1,000 ahli PPBM hadir ke stadium tertutup Stadium Melawati, Shah Alam sempena majlis sambutan penubuhan parti itu. Sambutan tersebut bermula seawal 4.00 petang dengan pelbagai aktiviti seperti persembahan daripada wakil PPPM negeri dan pertandingan pameran dan khemah jualan terbaik.