Mahasiswa ‘tidur’ di bangunan kementerian, mahu Maszlee letak jawatan presiden UIAM

Kumpulan mahasiswa itu berkata latar belakang Maszlee sebagai aktivis mahupun ahli akademik sebelum ini tidak lagi penting kerana beliau kini adalah seorang menteri dan ahli politik.

PUTRAJAYA: Seramai 3 orang mahasiswa nekad memasang khemah dalam kawasan Kompleks Kerajaan Parcel E malam tadi bagi menggesa Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik meletakkan jawatan sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Kumpulan aktivis itu diketuai Asheeq Ali menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu bentuk penghinaan kepada golongan mahasiswa di negara ini.

“Dia sendiri pernah memberitahu akan memastikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan sesekali menyalahgunakan universiti, termasuk oleh dirinya sendiri,” katanya kepada FMT di hadapan pintu masuk kompleks itu di sini lewat malam tadi.

Dua orang aktivis lain yang turut serta bersama Asheeq ialah mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Azura Nasron dan Siti Nurizzah Tazali dari UIAM.

Maszlee sebelum itu dilantik menggantikan Tan Sri Rais Yatim sebagai presiden ke-8 UIA. Kerusi itu kosong sejak tempoh perkhidmatan 5 tahun Rais tamat Jun lalu.

Pada 7 Jun, Maszlee memberi jaminan kepada pentadbiran universiti bahawa institusi itu tidak akan disalah gunakan oleh sesiapa, termasuk dirinya demi kepentingan politik.

Asheeq berkata, latar belakang Maszlee sebagai aktivis mahupun ahli akademik sebelum ini tidak lagi penting kerana beliau kini adalah seorang menteri dan ahli politik.

“Sebaik sahaja beliau menjadi menteri, maka beliau secara automatik adalah seorang ahli politik, dan ahli politik tidak boleh menganggu autonomi kami di universiti,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Khas Menteri Pendidikan Wan Saiful Wan Jan turut hadir menemui aktivis mahasiswa terbabit.

Katanya, Maszlee telah dinasihati banyak pihak sebelum menerima jawatan tersebut, tetapi tidak dapat memastikan sama ada pendapat mahasiswa turut diambil kira oleh menteri berkenaan.

“Dia sudah dinasihati pelbagai pihak sebelum ini, tapi saya tiada senarai nama mahasiswa yang terlibat dalam konsultansi dengan menteri,” katanya.

Terdahulu Adun Bukit Tunku, Lim Yi Wei dari DAP turut menggesa Maszlee melepaskan jawatannya sebagai presiden UIAM.