Peratus keluar mengundi rendah berulang di Seri Setia

PETALING JAYA: Peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Seri Setia jauh lebih rendah daripada sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), apabila hanya 41% pemilih berdaftar membuang undi setakat 4.00 petang tadi.

Sebelum ini SPR menyasarkan 70% pengundi akan melaksanakan tanggungjawab mereka pada PRK ini.

Pada PRK DUN Sungai Kandis 4 Ogos lalu, peratusan keluar mengundi juga rendah, iaitu 49.5% selepas pusat pengundian ditutup, berbanding 80% yang disasarkan.

Keputusan penuh PRK Seri Setia dijangka akan diumumkan pada 10.00 malam nanti.

Proses penjumlahan undi akan dilakukan di Dewan Sivik MBPJ selepas selesai proses pengundian.

PRK DUN Seri Setia menyaksikan pertandingan 2 penjuru antara calon PH Halimey Abu Bakar dengan calon PAS Dr Halimah Ali.

PRK ini menyaksikan bendera PH digunakan buat julung kalinya selepas PRU14 9 Mei lepas.

PRK DUN Seri Setia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas kerana barah usus.

Pada PRU14, Shaharuddin mewakili PKR memenangi kerusi itu dengan 29,250 undi menewaskan calon BN Datuk Yusoff HM Haniff (9,878), calon PAS Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon Bebas Dr S Vignes (217).