PRK Seri Setia: Pengundi keluar mengundi di 18 pusat undi pagi ini

PRK ini menyaksikan bendera PH digunakan buat julung kalinya dalam pilihan raya selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebanyak 18 pusat pengundian dengan 109 saluran bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan 50,722 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Calon PH Halimey Abu Bakar yang merupakan anak tempatan DUN ini akan membuang undi di Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan sementara calon PAS Dr Halimah Ali bukan pengundi berdaftar di kawasan ini.

Kesemua pusat pengundian akan ditutup pada jam 5:30 petang ini.

Terdahulu pada 4 September lalu seramai 2,770 pengundi berdaftar membabitkan 2,597 anggota tentera serta pasangan mereka dan 173 anggota polis terlibat untuk pengundian awal.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70% pengundi berdaftar untuk keluar mengundi dalam PRK ini.

Keputusan dijangka akan diumumkan pada pukul 10 malam nanti.

Proses penjumlahan undi akan dilakukan di Dewan Sivik MBPJ selepas selesai proses pengundian.

PRK DUN Seri Setia menyaksikan pertandingan 2 penjuru antara calon PH Halimey Abu Bakar dengan calon PAS Dr Halimah Ali.

PRK ini menyaksikan bendera PH digunakan buat julung kalinya dalam pilihan raya selepas pilihan raya umum 9 Mei lepas.

PRK DUN Seri Setia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas kerana barah usus.

Pada pihan raya umum lepas, Shaharuddin yang mewakili PKR, memenangi kerusi DUN itu dengan memperoleh 29,250 undi menewaskan calon BN Datuk Yusoff HM Haniff (9,878), calon PAS Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon Bebas Dr S Vignes (217).

DUN Seri Setia mempunyai 53,492 pemilih berdaftar, terdiri daripada 50,692 pengundi biasa, 2,770 pengundi awal dan 30 orang pengundi tidak hadir luar negara.

PRK ini diadakan serentak dengan PRK DUN Balakong.