SPR khuatir peratus mengundi rendah, minta pengundi keluar

Othman berkata, setakat pukul 11 pagi hanya 23% pengundi keluar di Seri Setia, manakala di Balakong 21%.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merayu pemilih berdaftar di kedua-dua Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Balakong untuk turun mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) yang berbaki kurang 5 jam lagi.

Timbalan Pengerusi SPR Tan Sri Othman Mahmood berkata demikian selepas mendapati peratusan keluar mengundi setakat ini masih rendah dan membimbangkan apabila masih ramai lagi pengundi tidak melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Setakat pukul 11 pagi ini baru 23% pengundi keluar di Seri Setia manakala 21% pula di Balakong.

“Kami seru pengundi di kawasan sekitar untuk keluar beramai-ramai tunaikan tanggungjawab sebab kita khuatir cuaca tidak menentu walaupun masa masih panjang,” katanya kepada pemberita selepas melawat salah satu pusat mengundi Seri Setia di Dewan D’ Kelana, di sini.

DUN Seri Setia mempunyai 53,492 pemilih berdaftar, terdiri daripada 50,692 pengundi biasa, 2,770 pengundi awal dan 30 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Manakala DUN Balakong pula mempunyai 62,219 pengundi berdaftar dengan 62,160 daripadanya adalah pengundi biasa, 31, pengundi awal dan pengundi tidak hadir luar negara seramai 28 orang.

Sebanyak 18 pusat pengundian dengan 115 saluran dibuka bagi DUN Seri Setia manakala Balakong pula 6 pusat pengundian dibuka dengan 129 saluran.

Kesemua pusat pengundian akan ditutup pada jam 5.30 petang ini dan keputusan pengiraan undi dijangka diketahui selewat-lewatnya 10 malam.