Umat Islam perlu sepakat, elak berpecah, kata Dr Mahathir

Dr Mahathir berkata, apa-apa yang diputuskan majoriti haruslah diterima dengan hati terbuka oleh minoriti tanpa menimbulkan kekecohan.

KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini diingatkan supaya bersatu hati dalam mencapai kata sepakat bagi mengelakkan perbalahan dan permusuhan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata jangan hanya disebabkan sedikit perbezaan orang Islam yang menganuti agama dan mengamalkan fahaman Islam yang sama berpecah belah sehingga membenci antara satu sama lain.

“Kesepakatan berlaku apabila sesuatu perkara itu mendapat persetujuan 100% daripada semua pihak, namun ia sesuatu yang mustahil.

“Maka cara lain ialah dengan mengambil keputusan majoriti dan apa yang diputuskan majoriti haruslah diterima dengan hati terbuka oleh minoriti tanpa menimbulkan kekecohan,” katanya dalam ucapan amanat sempena Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan kali ke-57 di Jalan Pahang, di sini.

Dengan cara itu, masyarakat Islam dapat bergerak serentak sebagai satu persaudaraan yang saling menghormati dan menyayangi sesama mereka seperti yang termaktub dalam Al-Quran, katanya.

Keadaan itu juga katanya akan menyebabkan sesebuah organisasi dan negara yang dipimpin umat Islam berjalan lancar dan pemerintahan akan membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada semua rakyat.

Dr Mahathir, yang juga Yang Dipertua PERKIM turut berharap pertubuhan itu akan terus menjalankan tanggungjawab menjelaskan ajaran Islam sebenar kepada rakyat termasuk kepada orang bukan Islam.

Beliau berkata usaha murni itu jika dikekalkan berkemungkinan mengembalikan semula kegemilangan tamadun Islam seperti dahulu.

Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM itu dihadiri lebih 250 orang termasuk Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara.

Turut hadir Setiausaha Agung PERKIM, Tan Sri Mohd Yusof Noor, Bendahari Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr Muhammad Rais Abdul Karim dan Naib Yang Dipertua PERKIM, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.