Dr Halimah: Undi lebih banyak jika ramai pemimpin Umno turun padang

Dr Halimah berkata jumlah undi diterima beliau jauh lebih tinggi berbanding pilihan raya umum 9 Mei, walaupun kadar peratusan keluar mengundi kurang 45%.

SHAH ALAM: Calon PAS dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia semalam, Dr Halimah Ali, percaya jumlah undi diperolehinya akan menjadi lebih besar sekiranya lebih ramai pemimpin Umno turun padang sewaktu tempoh berkempen bagi PRK itu.

Namun begitu katanya, beliau menyedari hakikat bahawa kedua-dua parti PAS dan Umno masih dalam fasa awal “berkenalan” sebelum kemungkinan itu boleh berlaku.

“Mungkin (boleh tambah undi), tapi itulah saya katakan, kita baru nak berkenalan.

“Kita baru berkenalan dalam tempoh 3 minggu ini, nak (tengok) okay ke tak selepas 60 tahun berlawan. (Takkan) tiba-tiba dalam 3 minggu ini nak beria-ria,” katanya dalam satu sidang media di markas PAS Taman Tun Dr Ismail, hari ini.

Semalam Halimah tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH) Halimey Abu Bakar apabila memperoleh 9,698 undi berbanding Halimey yang mendapat 13,725 undi.

Bagaimanapun kata Halimah, jumlah undi yang diterima beliau semalam jauh lebih tinggi berbanding ketika pilihan raya umum 9 Mei lalu, walaupun kadar peratusan keluar mengundi kurang daripada 45%.

“Alhamdulillah kita mendapat lebih 9000 undi, ini bermakna peningkatan lebih 100% undi berbanding pilihan raya umum ke-14.

Halimah berkata, sekiranya peratus mengundi lebih tinggi seperti pilihan raya umum jumlah undi yang diterima parti itu mungkin juga lebih besar, selain menganggap keputusan PRK tersebut sebagai ujian terhadap kerjasama dengan Umno.

“Kita juga melihat ini sebagai ujian “kertas litmus” untuk kerjasama dengan Umno,” katanya lagi.

Pada pilihan raya umum 9 Mei, calon PAS Mohd Ghazali Daud hanya memperoleh 4,563 undi, manakala Prof Dr Shaharuddin Badaruddin mewakili PKR memenangi kerusi Seri Setia dengan memperoleh 29,250 undi, sementara calon Barisan Nasional Datuk Yusoff HM Haniff mendapat 9,878 undi.

Dalam pada itu Halimah berkata selaku blok pembangkang, kedua-dua PAS dan Umno perlu bekerjasama dalam ebih banyak perkara bagi menghadapi kerajaan PH.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu bagaimanapun berkata, PAS tidak akan terlalu “gelojoh” menjalin kerjasama dengan Umno tanpa membuat penilaian rapi.

“Kita memang selama ini berlawan, tetapi sekarang kita faham bahawa untuk menjadi pembangkang yang kuat, kita tidak boleh terus berlawan.”

PAS dan Umno baru-baru ini mencatatkan sejarah baru dalam politik negara apabila mengumumkan kerjasama pilihan raya dan sokongan terbuka kepada calon satu sama lain dalam 2 pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum Mei lepas. Kedua-dua parti itu merupakan musuh tradisi terutama selepas 1980-an.