Konglomerat terbesar Thai kaji kemungkinan sertai TRX?

BANGKOK: TCC Group, antara konglomerat terbesar Thailand, sedang mengkaji untuk memperluas pelaburan semasanya di Malaysia, temasuk kemungkinan pembabitan dalam industri perkhidmatan di Tun Razak Exchange (TRX).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking yang bertemu Pengerusi TCC Group, Tan Sri Charoen Sirivadhanabak di sini beberapa hari lepas, berkata jutawan perniagaan itu menyatakan hasratnya untuk mengembangkan pelaburannya di Malaysia.

“Jutawan itu menyatakan beliau merancang meluaskan pelaburan di Malaysia dan kami mengalu-alukannya dan menugaskan pegawai untuk melihat bagaimana ia boleh dilrealisasikan,” katanya kepada dalam temu bual pada akhir lawatan kerjanya ke Thailand, Sabtu.

Mesyuarat sambil makan malam bersama Charoen, antara ahli perniagaan terkemuka Thailand, dengan perniagaan merangkumi beberapa industri, termasuk makanan dan minuman, hartanah, barangan pengguna dan perdagangan, berjalan dengan baik, kata Darell.

Berli Jucker Pcl (BJC), sebahagian daripada TCC Group, sudah pun menjadi penggiat utama industri di Malaysia.

Berdasarkan empayar perniagaannya yang semakin berkembang di seluruh dunia, nilai bersih semasa Charoen dianggarkan AS$13.7 bilion, seperti yang dilaporkan oleh majalah AS, Forbes, menjadikannya individu terkaya di Thailand.

Ditanya sama ada pelaburan masa depan oleh Kumpulan TCC di Malaysia akan termasuk TRX, Darrel enggan memberikan jawapan pasti, namun berkata konglomerat itu sedang mengkaji pengembangan infrastruktur sedia adanya di Malaysia, termasuk dalam industri perkhidmatan.

“Mereka mungkin mengembangkan industri perkhidmatan, yang akan mewujudkan pekerjaan di Malaysia, dan kami harap ia akan melibatkan TRX dan pemangunan terkini yang lain di Malaysia,” katanya sambil menambah bahawa beliau yakin mengenai potensi pelaburan TCC Group di Malaysia.

“Ia agak positif untuk mengatakan ia akan berlaku,” kata Darell.

TCC Group, menurutnya, wajar diberikan peluang untuk mengumumkan pelaburan masa depannya di Malaysia.

Sebelum bertemu Charoen, Darell dan anggota rombongannya termasuk pegawai kanan TRX, kementerian dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, turut melawat Hotel Okura Prestige, salah sebuah hartanah mewah konglomerat berkenaan.

Semasa lawatan kerja 3 hari ke Thailand, Darell juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Perdagangan Thailand Sontirat Sontijirawong, Persekutuan Industri Thai dan Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Thailand.

Beliau juga mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia yang tinggal dan bekerja di Thailand.