Ikut peraturan ini untuk premium insuran murah

Apa yang anda tahu mengenai pelaksanaan kadar premium insurans kenderaan berdasarkan profil risiko pemegang polisi yang dijangka berkuat kuasa pertengahan tahun hadapan?

Secara amnya, ia diuar-uarkan sebagai salah satu sistem paling adil kerana memberi kelebihan kepada pemandu cermat dan menyiap-sediakan pemandu supaya lebih berhati-hati.

Perkataan liberalisasi itu sendiri mungkin tidak difahami ramai.

FMT Ohsem mengupas isu ini secara lebih dekat menerusi temuramah dengan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Mark Lim dan Pengerusi PIAM, Anthony Lee baru-baru ini di pejabatnya.

Liberalisasi insurans di sini bermakna harga premium insurans atau takaful motor berdasar penilaian berhemah dan risiko pemandu serta kenderaan mereka.

Secara lebih jelas anda kena bayar premium yang berbeza bagi kenderaan yang sama model dan tahun pengeluaran. Faham?

Lebih jelas, kami senaraikan bagaimana anda boleh menurunkan premium insuran dan bayar lebih murah tetapi menikmati kemudahan yang berkualiti mulai Julai depan.

  1. Jadilah pemandu yang cermat atas jalan, kurangnya masalah di atas jalan raya, kemungkinan besar premium yang anda perlu bayar dikurangkan.
  2. Ikuti had laju yang ditetapkan setiap masa kerana anda tidak tahu bila anda ditangkap atau had laju pemanduan anda dirakam. Sebaik direkod, maka ia memberi kesan kepada premium.
  3. Patuhi peraturan trafik seperti tidak melanggar lampu merah, tidak memotong di garisan kembar, tidak menggunakan lorong kecemasan, minum alkohol dan memandu dan sebagainya.
  4. Jangan sama sekali gunakan telefon bimbit ketika memandu kerana ia boleh mengganggu fokus dan menyebabkan kemalangan. Sekali lagi, memberi impak kepada bayaran premium!
  5. Selenggara kereta anda mengikut jadual dan keperluan supaya ia tidak mengakibatkan kerosakan dan akhirnya membawa kepada kemalangan.
  • Jangan ambil remeh isu cermin hadapan yang retak kerana ia juga boleh ganggu penglihatan dan mengakibatkan kemalangan.
  • Jika mana-mana lampu tidak berfungsi, segera perbaiki kerana selaku pemandu berhemah anda perlukan cahaya yang secukupnya.
  • Pengelap cermin yang rosak juga harus diperbaiki segera bagi mengelak masalah ketika hujan.
  • Jangan lupa memperbaiki atau menukar brek dan pad brek jika anda mengesan sebarang masalah. Jangan tunggu sehingga ia haus dan tidak berfungsi baru nak tukar.
  • Tukar tayar kereta yang sudah licin atau haus. Salah satu perkara yang sering gagal diambil perhatian.

Dengan mengikuti panduan tersebut, PIAM menjamin para pemandu akan dapat ditawarkan kadar premium insurans yang lebih rendah.

“Kami hanya mahu pemandu di Malaysia selamat dengan kadar kemalangan dan kematian yang minima, jalan raya lebih selamat dan efektif untuk pemanduan,” kata Anthony.

Bagi memastikan mesej PIAM disampaikan kepada semua lapisan, mereka memilih selebriti terkemuka, Adibah Nor sebagai duta kempen tersebut.

Menurut statistik yang dikongsi oleh PIAM, Malaysia masih menjadi negara dengan rekod kemalangan tinggi, kontra dengan kemudahan jalannya yang baik.

Tuntutan insurans untuk sehari mencecah RM14.7 juta termasuk motor, kemalangan dan kerosakan.

“Justeru kami bercita-cita mengurangkan kemalangan jalan raya di seluruh negara sehingga sebanyak 20% bagi tahun ini 50% bagi tahun 2020 dan seterusnya,” katanya.

Turut ditanya bagaimana pula liberalisasi insuran ini boleh digunakan sebaiknya, beliau berkata pihaknya akan berurusan dan berkerjasama dengan sistem demerit Kejara dalam soal menentukan tabiat pemandu.

Selagi pemandu membawa kenderaan dengan cermat, bertanggungjawab dan bijak, tak perlu risau.

Di Singapura misalnya, pemandu yang tidak mempunyai saman untuk 3 tahun berturut-turut boleh mendapatkan surat khas dari pihak polis untuk insentif 5%.

Dan lebih menarik, tiada istilah tawar-menawar dalam peraturan ini, kalau dah dikenakan, memang wajib bayar.

Selain itu, Anthony juga memberitahu, orang muda yang menggunakan kereta berkelajuan tinggi juga perlu berhati-hati kerana ia boleh menggandakan caj premium memandangkan ia mempunyai risiko kemalangan yang lebih tinggi.