Tiada rezeki timang cahaya mata kerana amalan hidup tidak sihat

Akhir-akhir ini ramai pasangan berkahwin yang mengadu tidak dikurniakan cahaya mata sebaik mendirikan rumah tangga. Ada yang baru setahun berkahwin, tetapi ramai yang sudah menjangkau 5 hingga 10 tahun tetapi masih belum direstui dengan peluang menimang cahaya mata.

Masalah sukar memiliki anak kerana infertiliti atau kemandulan bukan lagi isu baharu atau perlu dirahsiakan. Ramai pasangan secara terbuka mencari bantuan, ekoran itu di Malaysia wujud banyak klinik dan hospital fertiliti yang merawat dan menyediakan alternatif kaedah kehamilan.

Menurut organisasi Kesihatan Dunia (WHO) masalah infertiliti diklasifikasi sebagai salah satu penyakit pada sistem reproduksi.

Pasangan dianggap tidak subur jika wanita tidak dapat hamil meskipun sudah melakukan hubungan seks mengikut jadual perhitungan kesuburan yang tepat tanpa alat kontrasepsi selama setahun.

Gaya hidup yang tidak sihat disenarai sebagai salah satu faktor penyebab seseorang tidak subur atau mandul.

“Gaya hidup merupakan salah satu faktor masalah kesuburan lelaki dan wanita,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Morula IVF, Dr Ivan Sini.

Katanya, masalah infertiliti berlaku apabila lelaki atau wanita tidak subur atau kombinasi dari beberapa faktor yang mengganggu kehamilan.

Laporan Mayo Clinic mendapati masalah ketidaksuburan wanita dikesan daripada kitaran menstruasi yang tidak teratur atau langsung tiada. Manakala bagi lelaki, ketidaksuburan dikesan dari aspek perubahan hormon.

Lelaki yang tidak subur mempunyai masalah penghasilan atau fungsi sperma yang tidak normal, masalah pada pengiriman sperma serta penyakit berkaitan kanser. Jumlah sperma yang kurang daripada 15 juta per milimeter menandakan ketidaksuburan seorang lelaki.

Bukan itu sahaja, pendedahan kepada bahan kimia seperti pestisid dan radiasi juga boleh mempengaruhi kesuburan secara serius.

Sementara itu, bagi wanita, infertiliti lazimnya disebabkan oleh gangguan ovulasi, kecacatan di uterus atau serviks, kerosakan pada saluran tiub falopia, endometriosis dan juga menopaus awal.

Selain itu, risiko kemandulan juga disebabkan oleh beberapa faktor lain iaitu gaya hidup tidak sihat. Antaranya ialah amalan seperti pengambilan alkohol, merokok atau dadah.

Kajian mendapati amalan merokok meningkatkan risiko disfungsi ereksi dan jumlah sperma yang rendah pada lelaki.

Selain amalan gaya hidup, masalah berat badan termasuk obesiti atau terlalu kurus juga meningkatkan risiko ketidaksuburan pada lelaki dan wanita.