Bekas pegawai timbalan menteri rakam bawah skirt dibebaskan

Bekas pegawaI Azis Jamman (dengan beg galas) dibebaskan polis selepas ditahan selama 9 jam.

PETALING JAYA: Bekas pegawai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman yang didakwa merakam bawah skirt seorang wanita di sebuah kedai cermin mata, dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, R Munusamy berkata, lelaki berusia 47 tahun itu dibebaskan 10 malam Isnin.

“Semalam dia telah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Ahad lalu, Azis dilaporkan memecat pegawai itu kerana perilaku kejinya merakam bawah skirt seorang petugas wanita di sebuah kedai cermin mata.

Katanya, beliau memecat lelaki itu serta-merta, selepas mengambil maklum laporan polis serta rakaman kamera litar tertutup berhubung tindakan individu itu yang disebarkan netizen melalui media sosial.

Beliau berkata, perbuatan individu itu menjejaskan imej dan kredibilitinya selaku timbalan menteri dalam negeri serta pejabat timbalan menteri.

Polis kemudiannya menahan lelaki itu di Sri Hartamas, 1 tengah hari semalam, bagi membantu siasatan di bawha Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.