Daim akan temui SPRM siasat transaksi 91 tanah diragui

Daim Zainuddin berkata, transaksi meragukan itu turut membabitkan tanah bagi projek Bandar Malaysia.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin berkata, pihaknya sudah menyerahkan hasil siasatan jualan 91 lot tanah yang meragukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, semua transaksi tanah itu dilakukan di bawah kerajaan Barisan Nasional.

“(Jualan) tanah di Kuala Lumpur ini ada lebih kurang 91 kawasan. Ada (Dewan) Bandaraya (Kuala Lumpur, DBKL) bagi, ada yang pejabat tanah bagi.

“Esok, SPRM akan jumpa saya. Jika ada kesalahan (dalam transaksi tanah), SPRM akan ambil tindakan. Saya juga sudah bincang dengan Menteri Wilayah, sama ada nak ambil balik (tanah itu).

“Ada juga pihak yang sanggup serah balik, contohnya ada sebuah syarikat yang dapat 8 (lot tanah),” katanya ketika berucap dalam majlis sepetang bersama penduduk Parlimen Titiwangsa di Kelab Sultan Sulaiman, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh membuat laporan bagi menggesa SPRM menyiasat penjualan 64 lot tanah oleh DBKL antara 2014 hingga 2018.

Mereka turut menggesa pengurusan tertinggi Yayasan Wilayah Persekutuan yang didakwa terbabit dalam pembelian tanah itu disiasat SPRM berhubung peranannya dalam penjualan tanah berkenaan.

Daim berkata, transaksi meragukan itu turut membabitkan tanah bagi projek Bandar Malaysia.

“Yang besar sekali ialah tanah di Bandar Malaysia. Dulu, tanah Tun Razak Exchange (TRX) saya tawarkan kepada Petronas supaya jadikan tanah warisan, dia tak mahu.

“Jadi, tanah itu diberi kepada Bumiputera. Kemudian dia ambil balik, beri pada 1MDB. Sekarang kita nak cari jalan sama ada boleh ambil balik tanah itu dan beri pada Bumiputera.

“Kalau boleh saya nak cadangkan di ‘airport’ itu jadikan taman supaya orang Kuala Lumpur boleh berkelah di situ, nanti kita buka sebuah muzium kita letak beg tangan Datin Seri Rosmah Mansor (bagi) satu dunia tengok,” katanya berseloroh.

DBKL gagal bantu orang Melayu

Sementara itu, Daim mendakwa kakitangan DBKL yang majoritinya orang Melayu gagal membantu kaum itu sendiri.

“Saya minta maaf. DBKL (dipenuhi) orang Melayu, tetapi tidak tolong orang Melayu. Tipu sama kita.

“Setiap pegawai DBKL dan juga lain-lain pejabat and majlis daerah, semua kaya. Dia tak pentingkan orang Melayu, dia pentingkan diri dia.

“CEP dah panggil pegawai dan datuk bandar. Insya Allah akan buang (pegawai sedemikian).

“Tidak mahu Melayu harapkan pagar, pagar makan padi. Tak cukup padi, tanah pun dia sapu, golongan ini kita tak mahu.”